MOSCOW, 25 Ogos – Lebih 1,000 penempatan pengganas di Syria dimusnahkan tentera udara Rusia pada minggu lepas, lapor agensi berita China Xinhua, memetik akhbar tempatan Rusia.
Tentera Rusia melancarkan lebih 360 serangan udara, lapor akhbar rasmi Kementerian Pertahanan Rusia Krasnaya Zvezda.
Dron turut digunakan dalam operasi itu dan mengesan lebih 190 kemudahan pengganas.
Rusia melancarkan serangan memerangi Daesh dan kumpulan pengganas lain di Syria sejak September 2015 atas permintaan Presiden Syria Bashar al-Assad.
Pada Mac 2016, Presiden Rusia Vladimir Putin mengeluarkan arahan mengundurkan sebahagian besar tentera Rusia di Syria selepas mendapati objektif operasi selesai tetapi beberapa anggota ditinggalkan bagi memantau gencatan senjata. – Bernama