DUBAI, Emiriah Arab Bersatu (UAE), 31 Ogos – Anggota tentera Amerika Syarikat (AS) awal hari ini berkata ia telah merampas lebih 1,000 senapang Kalashnikov yang diseludup oleh kapal-kapal kecil di Teluk Aden di tengah peperangan yang sedang berlaku di Yaman yang berhampiran.
Rampasan senjata oleh kapal pemusnah USS Jason Dunham mungkin menandakan pemusnahan pertama senjata seumpamanya di lautan menuju Yaman dalam tempoh beberapa tahun bagi pasukan Amerika yang meronda rantau itu.
Bagaimanapun pihak ketenteraan tidak menyatakan siapa yang disyaki menyeludup senjata itu, di mana satu rakaman pendek yang dikeluarkan oleh tentera laut AS memperlihatkan sebuah sampan dan sebuah kapal layar, kapal tradisi yang lazimnya belayar di perairan rantau Teluk Persia.
Ketika kapal-kapal itu terumbang ambing di perairan berombak tinggi, orang yang berada di atas kapal layar mencampakkan kotak-kotak besar ke dalam sampan. Armada ke-5 Tentera Laut AS yang berpangkalan di Bahrain mengatakan anak kapal menaiki bot itu pada Selasa lalu dan membuka kotak berisi senjata yang disembunyikan.

Gambar-gambar yang disiarkan oleh pihak tentera laut menunjukkan bungkusan senapang Kalashnikov yang disarungkan dengan plastik. Menurutnya, kesemua senapang yang ditemui di atas kapal itu telah diserahkan kepada pasukan Yaman yang setia kepada kerajaan buangan di Arab Saudi.
Anggota tentera AS tidak menyatakan lokasi rampasan di Teluk Aden itu yang mana Yaman berada di utaranya dan Somalia di selatannya. Penyeludupan dadah, senjata dan arang ke Somalia oleh sekumpulan penjenayah dan kumpulan militan terus menjadi sesuatu yang lumrah. Armada ke-5 berulang kali menuduh Iran menyeludup senjata melalui laut kepada pemberontak Syiah Huthi, Yaman yang telah menguasai bandar Yaman, Sanaa sejak September 2014.
Ia merujuk kepada rampasan dalam tempoh empat minggu awal 2016, apabila kapal-kapal perang pasukan gabungan menahan tiga buah kapal layar di Laut Arab. Kapal-kapal layar itu membawa beribu-ribu senapang Kalashnikov dan juga senapang penembak hendap, mesingan, pelancar bom roket, peluru berpandu antikereta kebal dan senjata lain. – AP