Friday, May 2, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    1,000 unit rumah teres dijangka siap hujung Mac 2024

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MAC – Perangkaan pemilikan rumah Negara Brunei Darussalam pada masa ini ialah sebanyak 67.1 peratus. Oleh itu, dalam usaha untuk terus menyediakan rumah-rumah di dalam Skim Perumahan Negara di bawah Jabatan Kemajuan Perumahan, projek-projek baharu bagi penyediaan prasarana terus diusahakan pada tahun kewangan 2024/2025.

    Di samping usaha penyediaan perumahan, sebanyak 2,674 penggeranan tanah TOL juga telah dianugerahkan kepada pemilik-pemilik tanah TOL yang memenuhi syarat-syarat kelayakan.

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid dalam pembentangan peruntukan Kementerian Pembangunan pada hari ke-13 Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Majlis, kelmarin.

    Beliau menerangkan bahawa melalui Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-11, dua projek sedang dijalankan iaitu Projek Perumahan Negara Kampung Lugu Fasa 2, dengan pembinaan 1,000 unit rumah teres yang dijangka siap pada penghujung Mac 2024 serta Projek Perumahan Negara Kampung Tanah Jambu Fasa 7, iaitu pembinaan sebanyak 950 unit rumah teres yang telah bermula pada Januari 2023 dan dijangka siap pada Januari 2025.

    Yang Berhormat Dato seterusnya menyatakan bahawa bagi perancangan di bawah RKN ke-12, Jabatan Kemajuan Perumahan sedang membuat perancangan projek-projek kemajuan perumahan dengan peruntukan $41,555,200 bagi Tahun Kewangan 2024/2025.

    Ia adalah daripada harga RKN ke-12 berjumlah $276,950,443 di mana antara kerja-kerja permulaan yang akan dilaksanakan dengan peruntukan berkenaan adalah kerja-kerja penelitian tapak di kawasan Kampung Salambigar, Kampung Tanah Jambu, Kampung Katok, Kampung Lumut dan Kampung Rataie, kerja-kerja tanah di kawasan Kampung Katok dan Kampung Rataie serta pembinaan perumahan di kawasan-kawasan RPN Kampung Lugu (Fasa 2B), RPN Kampung Lumut (Fasa 7), RPN Kampung Rimba (Fasa 6) dan RPN Kampung Salambigar.

    Projek-projek berkenaan dijangka akan menyediakan lebih 1,600 buah rumah yang baru, tambah Yang Berhormat Dato lagi.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda semasa Persidangan MMN ke-20. – GAMBAR SERAHAN INFOFOTO
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda