SHAH ALAM, 10 APRIL – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor hari ini merampas kira-kira 10,000 unit beg tangan tiruan berjenama eksklusif dan terkenal dianggarkan bernilai RM1 juta, susulan serbuan di dua premis dalam sebuah pasar raya di Klang, hari ini.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata dalam serbuan yang dijalankan sekitar 1 tengah hari itu, turut ditahan empat warga tempatan termasuk tiga wanita berusia lingkungan 18 hingga 38 tahun.
Beliau berkata pihaknya menggerakkan sembilan anggota ke dua premis tersebut membabitkan sebuah stor simpanan dan premis jualan, yang disyaki ia telah beroperasi sejak tiga tahun lepas.
“Tindakan operasi hari ini merupakan hasil risikan yang dijalankan selama dua minggu oleh Pasukan Risikan KPDN Selangor dengan kerjasama wakil cap dagangan berdaftar, berhubung aktiviti mencurigakan melibatkan cap dagangan yang diwakili.
“Berdasarkan rekod tindakan kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019, serbuan pada hari ini melibatkan nilai rampasan terbesar pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Zuhairi berkata pihaknya menyita kesemua barangan berkenaan, seterusnya disimpan dan dikawal di bawah pengurusan ekshibit KPDN Selangor sepanjang siasatan berjalan.
Dalam pada itu, beliau turut meminta agar pemilik bangunan untuk bertanggungjawab dan berusaha memastikan premis atau lot yang disewakan tidak terlibat dengan sebarang aktiviti yang melanggar peruntukan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 atau mana-mana perundangan yang dikuat kuasa di bawah KPDN. – Bernama