Oleh Sim Y. H., Normazlina M.D, Hajah Saemah Kepli & Noorhamizan Haji Mohd Mosbi
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Feb – Sejumlah 10,000 bendera kecil diagihkan kepada pelajar-pelajar sekolah dalam majlis pengagihan yang diadakan serentak di keempat-empat daerah, hari ini, sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-33 tahun 2017.
Tumpuan utama Majlis Pengagihan Bendera Kecil (Meja) dan Program Semarak Pengibaran Bendera bagi pelajar-pelajar sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah Arab/agama itu adalah di Daerah Temburong.
Berangkat selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan pengagihan bendera kecil di majlis yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar, Daerah Temburong itu ialah Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar.
Keberangkatan Yang Amat Mulia telah dijunjung oleh Setiausaha-setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Menaikkan dan Menurunkan Bendera Besar dan Pengagihan Bendera Kecil Meja dan Program Semarak Pengibaran Bendera.
Sementara itu, di Daerah Brunei dan Muara, majlis berlangsung di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Hafizah Sururul Bolkiah, Berakas, di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Undang-undang dan Kesejahteraan) di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Mohammad Juanda bin Haji A. Rashid.


Di majlis itu, Dato Paduka Haji Mohammad Juanda mengagihkan bendera kecil kepada murid lelaki, manakala itu, Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Hajijah binti Haji Moktal mengagihkan bendera kepada murid-murid perempuan.
Di Daerah Tutong, hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang diadakan di Dewan Sekolah Rendah Keriam ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Zakaria bin Haji Serudin.



Manakala itu, di Daerah Belait, Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di Kementerian Pembangunan, Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah hadir selaku tetamu kehormat majlis yang diadakan di Sekolah St Margaret.
Majlis-majlis berkenaan telah didahului dengan upacara menaikkan bendera dan acara kemuncak juga dimeriahkan dengan persembahan-persembahan koir oleh pelajar-pelajar dan daripada pemenang Pertandingan Koir Lagu-lagu Patriotik Antara Mukim-mukim bagi setiap daerah.
Majlis Pengagihan Bendera Kecil (Meja) berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha untuk menyemai kecintaan dan semangat patriotisme dalam jati diri belia bermula dari sejak kecil lagi.
Di samping untuk memeriahkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-33, acara itu dihasratkan untuk menanamkan rasa bangga dalam kalangan orang ramai kerana mempunyai sebuah negara merdeka, aman dan damai di bawah taufik dan hidayah Allah serta menjadi Negara ‘Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur’.