Thursday, November 28, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    10,000 keping kuih sarang tebuan terjual sempena Aidilfitri

    GUA MUSANG – Kegigihan seorang penjual aiskrim yang menukar cabang jualan kepada pembuatan kuih sarang tebuan sebagai alternatif meraih pendapatan ketika Ramadan membuahkan hasil apabila mendapat tempahan hingga kira-kira 10,000 keping.

    Rosnanie Maliki, 37, berkata proses pembuatan kuih itu yang dihasilkan menggunakan tepung beras, telur, santan, gula dan minyak sedikit mencabar bagi memastikan kerangupan kuih sarang tebuan itu atau lebih dikenali sebagai kuih goyang atau kuih ros, berkekalan.

    “Selain bergantung kepada tekstur kepekatan adunan, kawalan api dapur juga perlu diambil kira sepanjang proses menggoreng kerana ia akan menentukan tahap kerapuhan dan kekal rangup walaupun disimpan berhari-hari,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Agropolitan Rantau Manis, di sini.

    Rosnanie berkata untuk tempahan Hari Raya tahun ini, dia perlu menyiapkan sebanyak 200 botol kuih sarang tebuan yang mengandungi 50 keping kuih setiap botol dan dijual pada harga RM15.

    “Saya akan mula menyediakan adunan bermula 8 pagi dan selesai menggoreng pada 5 petang,” katanya.

    Rosnanie Maliki menyusun kuih Sarang Tebuan ke dalam bekas jualan di Taman Agropolitan Rantau Manis. – Bernama

    Bercerita lanjut, Rosnanie berkata keputusan untuk membuat kuih sarang tebuan ini diambil bertujuan menampung perbelanjaan pada bulan puasa selain mengumpul wang untuk menyambut Aidilfitri memandangkan suaminya Mohd Hassan Mat Zain, 49, yang menghidap penyakit radang hati tidak dapat bekerja untuk menyara keluarganya.

    Menurut Rosnanie, keadaan dirinya yang turut menghidap kencing manis kronik bukan alasan untuk mencari pendapatan tambahan.

    “Dalam masa dua minggu saya dapat siapkan 700 keping kuih sarang tebuan tempahan pelanggan.

    “Selain tempahan daripada jiran-jiran di sini, saya juga menerima tempahan dari serata tempat termasuk Kuala Lah, Chiku, dan Kampung Limau Kasturi.

    “Walaupun menerima permintaan yang banyak untuk raya ini saya terpaksa mengehadkan pengambilan dan menutup tempahan dengan lebih awal disebabkan faktor kesihatan,” katanya yang turut terpaksa membahagikan masa menguruskan anak yang berstatus orang kelainan upaya (OKU). – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda