TAWAU, 2 NOV – Kira-kira 10,000 anggota polis akan bertugas bagi memastikan kelancaran proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bermula tarikh penamaan calon pada 15 November hingga hari pengundian 29 November nanti.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata anggota dari Pejabat Polis Kontinjen Sarawak juga akan digerakkan sekiranya terdapat keperluan untuk menambah kekuatan anggota bertugas sepanjang tempoh PRN berlangsung.
“Pembekuan semua cuti telah pun kita keluarkan, kecuali cuti yang dibenarkan itu kita semak berdasarkan kes demi kes. Saya telah mendengar taklimat daripada Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun, mengenai kesiapsiagaan polis mendepani plilhan raya itu.
“Hal ini termasuk dari segi latihan, kesemuanya, terutama yang membabitkan mengawasi perjalanan peti undi, kawasan terpencil, kita telah menjalankan latihan dan simulasi, di samping taklimat bersama agensi lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Kementerian Dalam Negeri (KDN) MADANI: Inspirasi Malaysia di Dewan Terbuka Merotai Besar, hari ini.
Saifuddin Nasution berkata fungsi polis bukan sekadar mengenai keselamatan pengundi atau pemilih tetapi juga memastikan pilihan raya di Sabah dilihat sebagai ‘pesta demokrasi’.
“Mereka harus merasa senang untuk keluar mengambil bahagian menjalankan tanggungjawab, tidak perlu ada kebimbangan dari sudut keselamatan, ancaman dan ugutan. Itu adalah tugas hakiki pasukan polis,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Program KDN MADANI : Inspirasi Malaysia merupakan program turun padang dilaksanakan setiap bulan oleh agensi di bawah KDN untuk memberi khidmat langsung kepada rakyat khususnya di kawasan luar bandar. – Bernama


