LONDON, 15 DIS – Jururawat United Kingdom (UK) melancarkan mogok sehari dalam usaha menuntut gaji dan keadaan kerja lebih baik, meskipun mengingatkan tindakan itu akan menjejaskan pesakit.
Sehingga 100,000 anggota Kolej Kejururawatan Diraja (RCN) di England, Wales dan Ireland Utara berhenti kerja dari 0800 hingga 2000 selepas menolak perjanjian bayaran gaji.
Tindakan industri RCN – yang pertama dalam sejarah 106 tahun – adalah sebahagian daripada gelombang mogok oleh pekerja sektor awam dan swasta ketika inflasi yang meningkat mengatasi pertumbuhan gaji.
Di luar Hospital St Thomas di tengah London, jururawat mogok melaung slogan dan memegang sepanduk berbunyi ‘Bayar kami’ dan ‘Sudah tiba masanya untuk membayar jururawat dengan adil.’
Ketua kesatuan berkata jururawat bekerja terlalu kuat disebabkan kekurangan kakitangan, ketika Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan bergelut dengan tunggakan kerja untuk janji temu dan rawatan yang diburukkan oleh pandemik.
Setiausaha Agung RCN, Pat Cullen berkata ia ‘merupakan hari tragik’ bagi jururawat, pesakit dan NHS di mana mereka terpaksa mengambil tindakan sedemikian.
Menurutnya, terdapat 50,000 kekosongan jawatan jururawat sekarang dan lebih banyak perlu dilakukan untuk menghalang kakitangan daripada meninggalkan jawatan untuk kerja yang menawarkan gaji lebih baik di pasar raya dan sektor runcit.
“Ia terpulang kepada kerajaan. Mereka bertanggungjawab mengatasi kekosongan jawatan kejururawatan. Mereka perlu melakukannya dengan membayar jururawat gaji yang setimpal,” kata Cullen. – AFP


