ISLAMABAD, 15 JAN – Hampir 100,000 kanak-kanak di Afghanistan kini memerlukan sokongan yang mendesak, tiga bulan selepas gempa bumi melanda barat negara itu, kata agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) hari ini.
Gempa bumi berukuran 6.3 magnitud menggegarkan wilayah Herat pada 7 Oktober lalu dan gempa kedua kuat melanda wilayah yang sama beberapa hari kemudian pada 11 Oktober, mengorbankan lebih 1,000 orang. Majoriti mereka yang terkorban dalam gempa bumi di daerah Zinda Jan dan Injil adalah wanita dan kanak-kanak, dengan 21,000 rumah musnah, kata UNICEF dalam satu kenyataan.
“Suasana di kampung-kampung ini masih dipenuhi dengan penderitaan walaupun 100 hari selepas gempa bumi di barat Afghanistan apabila keluarga kehilangan segala-galanya,” kata Fran Equiza, wakil UNICEF di Afghanistan.
“Kanak-kanak masih berusaha untuk mengatasi kehilangan dan trauma. Sekolah dan pusat kesihatan, tempat bergantung kepada kanak-kanak, rosak tidak dapat dibaiki atau musnah sama sekali,” tambahnya.
“Seolah-olah ini tidak mencukupi, musim sejuk telah berlangsung dan suhu turun di bawah paras beku,” kata Equiza. “Kanak-kanak dan keluarga tanpa rumah hidup dalam keadaan yang mengancam nyawa pada waktu malam, tanpa cara untuk memanaskan tempat perlindungan sementara mereka,” katanya.
UNICEF berkata ia memerlukan sekurang-kurangnya AS$1.4 bilion tahun ini untuk memenuhi keperluan kemanusiaan dan asas 19.4 juta rakyat Afghanistan, iaitu separuh daripada jumlah penduduk. – AP


