LOS ANGELES, 13 OKT – Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran di selatan California semalam selepas kita-kira 100,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.
Jabatan Perkhidmatan Cuaca Nasional berkata, kawasan terbabit berdepan bahaya terbaharu susulan angin kencang dan suhu rendah, menyebabkan kebakaran boleh menjadi lebih serius pada bila-bila masa.
Kebakaran dikenali sebagai Saddleridge yang merentasi Lembah San Fernando di Los Angeles itu adalah paling besar di selatan California setakat ini.
Menjelang semalam, ia sudah memusnahkan kawasan seluas 3,200 hektar di utara pinggir Los Angeles, dengan hanya 33 peratus api berjaya dikawal setakat ini.
Sebilangan penduduk bagaimanapun dibenarkan pulang ke rumah masing-masing susulan ramalan cuaca berhubung suhu rendah dan keadaan angin perlahan.
“Kami bersedia untuk menghadapi sebarang kejadian mengejut,” kata ketua bomba Los Angeles, Branden Silverman kepada media tempatan semalam. Menurut Jabatan Bomba, seorang lelaki berusia 50 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung selepas bertungkus lumus menyelamatkan rumahnya dari musnah dijilat api. – AFP
