101 kapal dagang bersauh tanpa kebenaran sejak awal tahun ini

JOHOR BAHRU, 26 SEPT – Sebanyak 101 buah kapal dagang tempatan dan asing dari 17 negara telah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana kesalahan bersauh tanpa kebenaran di perairan negeri ini sejak Januari lalu.

Pengarahnya Laksamana Pertama Maritim, Nurul Hizam Zakaria berkata dalam tempoh tersebut, sebanyak RM2.56 juta kompaun dikeluarkan dengan 83 daripada kapal tersebut ditahan menerusi Operasi Jangar Jaram yang dilaksanakan sejak 24 Mac lepas.

Menurutnya, antara alasan yang paling kerap diberikan adalah tidak mengetahui kawasan perairan negara.

“Sebenarnya adalah mustahil untuk mengatakan mereka tidak tahu kerana apabila kapal antarabangsa pergi ke mana-mana negara di dunia, perkara pertama yang perlu difahami adalah undang-undang yang dikuatkuasakan di negara yang menjadi destinasi mereka.

“Alasan itu kita tidak pertimbangkan sama sekali. Kita melaksanakan penguatkuasaan secara tegas tanpa mempedulikan daripada mana kapal itu berasal,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, mengenai jangkitan COVID-19 dalam kalangan anggota APMM di Johor, Nurul Hizam berkata seramai 120 anggotanya disahkan positif dengan dua kematian direkodkan semenjak Mac tahun lepas. – Bernama

Nurul Hizam Zakaria menunjukkan sebahagian kapal yang ditahan dalam Operasi Jangkar Haram yang bersauh tanpa kebenaran, pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor Menara Tabung Haji, kelmarin. – Bernama