Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 28 Sept – Kempen derma darah kali kedua anjuran bersama NBT (Brunei) Sdn Bhd dan Kelab Lions Belait yang berlangsung di Ruang Pameran NBT (Brunei) cawangan Belait di sini hari ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai khususnya penderma.
Sebanyak 101 pain darah telah berjaya dikumpulkan sepanjang kempen yang bermula 8 pagi hingga 11 pagi dan 2 petang hingga 4 petang. Para penderma darah juga telah menerima cenderahati berbentuk beg goodie termasuk pena bertema dan rantai kekunci sebagai penyuntik semangat untuk lebih ramai lagi yang akan menyertainya.
Pembantu Makmal Unit Tabung Darah Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait, Dayang Nurlina binti Edris semasa ditemui Media Permata memberitahu, jangka masa yang sihat mendermakan darah bagi lelaki dan wanita pada masa ini adalah dua bulan sekali, yang telah dimulakan pada 2015 bagi mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurutnya, sebelum 2015, penderma dibenarkan melakukannya tiga bulan sekali dan selepas itu jangka masa yang dibenarkan perlu mengikut piawaian antarabangsa yang baharu.
Katanya lagi, majoriti darah yang berjaya dikumpulkan adalah daripada kumpulan O, selebihnya kumpulan darah A, B dan AB.
Menurutnya lagi, pemberian darah kepada pesakit juga tergantung kepada imuniti badan seseorang pesakit.