Oleh Salawati Haji Yahya & Syahmi Hassan
Gambar Muiz Matdani & Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Seramai 10,343 orang yang terdiri daripada golongan tertentu iaitu orang berkeperluan khas, anak-anak yatim, fakir miskin dan penerima bantuan kebajikan menerima Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada hari kedua majlis pengurniaan, hari ini.
Majlis pengurniaan kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia sempena Hari Raya Aidilfitri berkenaan telah diadakan di Daerah Brunei dan Muara, Daerah Belait dan Daerah Temburong.
Berangkat menyempurnakan pengurniaan peribadi sebagai wakil Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah paduka-paduka anakanda Baginda Sultan.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah telah berkenan berangkat menyempurnakan pengurniaan pada majlis yang diadakan di Dewan Pusat Insani Seria, Daerah Belait.
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia ke majlis itu dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman serta isteri masing-masing.








Pada majlis tersebut, Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia berkenan menyampaikan kurnia peribadi Baginda Sultan kepada seramai 2,561 orang penerima.
Bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat telah dibacakan oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
Sementara itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen telah berkenan menyempurnakan pengurniaan kurnia peribadi Baginda Sultan kepada seramai 744 orang penerima di Daerah Temburong pada majlis yang berlangsung di Dewan Belalong, Kompleks Kemasyarakatan Pekan Bangar.
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ke majlis itu dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Menjar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Terdahulu, bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dibacakan oleh Yang Arif Dato Seri Setia Haji Zaimi bin Haji Talip.
Sementara itu, pada majlis yang berlangsung di Dewan Resepsi, Istana Nurul Iman, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah telah berkenan menyempurnakan pengurniaan kepada seramai 2,871 orang penerima.
Keberangkatan kedua-dua Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi bin Haji Ghafar dan Menteri Tenaga (Tenaga Manusia dan Tenaga) dan Perindustrian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein berserta isteri masing-masing.
Bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Arif Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Manakala itu, di ruang lain Istana Nurul Iman, di Baitur Rahmah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah berkenan menyempurnakan pengurniaan kepada seramai 2,515 orang penerima.
Keberangkatan kedua-dua Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Sulaiman dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof.
Terdahulu itu, bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dibacakan oleh Yang Arif Haji Johar bin Haji Muhamad.
Majlis pengurniaan kurnia peribadi Baginda kepada golongan tertentu berkenaan merupakan manifestasi kepimpinan di samping menunjukkan keperibadian Baginda Sultan yang ingin melihat kesejahteraan dan kebajikan rakyat Baginda dan penduduk di negara ini.
Ini khususnya dalam kalangan golongan yang memerlukan bantuan di negara ini sentiasa diberikan perhatian yang terbaik dan sewajarnya ke arah meringankan bebanan hidup mereka lebih-lebih lagi dalam suasana negara tidak lama lagi akan menyambut Hari Raya Aidilfitri.