104 keluarga terima bantuan kewangan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Seramai 104 orang ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian banjir di Daerah Tutong, Belait dan Temburong telah menerima bantuan kewangan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui peruntukan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Bantuan tersebut disampaikan secara pandu lalu di daerah-daerah berkenaan, kelmarin.

Bagi Daerah Tutong, majlis diadakan di Dewan Kemasyarakatan Serambangun, Kampung Sengkarai Tutong di mana hadir menyampaikan bantuan kepada 83 orang ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian banjir di Mukim Rambai, Mukim Keriam, Mukim Telisai, Mukim Lamunin, Mukim Tanjong Maya, Mukim Kiudang dan Mukim Ukong ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di KKBS, Dayang Saidah binti Haji Wahid.

Sumbangan turut diserahkan kepada mangsa kebakaran yang berlaku sekitar 11:30 malam pada 19 Oktober lalu yang telah merosakkan sebahagian dapur di tingkat bawah dan tingkat atas rumah Hajah Maslenawati binti Abdullah di Kampung Lamunin, Tutong.

Di Daerah Belait, majlis penyerahan diadakan di Dewan Utama Kelab Rekreasi Sungai Liang dan hadir menyampaikan sumbangan kepada 17 orang ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian banjir ialah Pemangku Pengarah Bahagian Perkhidmatan Sosial, KKBS, Hajah Noridah binti Haji Abdul Hamid.

Kawasan-kawasan yang terjejas banjir di Mukim Liang, Belait pada 2 Oktober lalu ialah Kampung Sungai Kuru, Kampung Sungai Kang, Kampung Sungai Lalit, Brunei LNG Lumut, Kampung Sungai Liang dan Kampung Lumut.

Bagi Daerah Temburong, penyerahan diadakan di kawasan letak kereta Bangunan Pejabat Daerah Temburong yang disempurnakan oleh Pemangku Timbalan Pengarah JAPEM, Dayang Mirany Floridzah binti Abdul Rahman. Empat orang ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian banjir di Kampung Negalang Unat, Kampung Sungai Tanit, Kampung Sungai Tanam dan Kampung Parit menerima bantuan pada majlis itu. Pemberian bantuan kewangan tersebut adalah untuk membantu meringankan kesusahan yang dialami oleh mangsa-mangsa bencana bagi meneruskan kehidupan seharian. Usaha ini menunjukkan keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami musibah.

Salah seorang ketua keluarga menerima sumbangan daripada Dayang Saidah di Dewan Kemasyarakatan Serambangun, Kampung Sengkarai Tutong.
Hajah Noridah menyampaikan sumbangan kepada salah seorang ketua keluarga di Dewan Utama Kelab Rekreasi Sungai Liang baru-baru ini.