Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 DIS – Sebagai sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk memberi kembali kepada masyarakat dan memenuhi keperluan mendesak untuk bekalan darah di Negara Brunei Darussalam, McDonald’s Brunei dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) telah menganjurkan Kempen Derma Darah selama dua hari di McDonald’s Jerudong dan berakhir hari ini di McDonald’s Lambak.
Penganjuran kempen itu telah menyaksikan sokongan padu daripada orang ramai, yang tampil untuk menderma darah dengan sukarela demi sama-sama menyelamatkan nyawa insan-insan yang memerlukan.
Awang Muhammad Khairul Ikhwan bin Ibrahim selaku Pegawai Pemasaran Kanan McDonald’s Brunei, merakamkan ucapan terima kasih atas sokongan dan kemurahan hati masyarakat mengambil bahagian dalam inisiatif penting itu. McDonald’s Brunei kekal komited untuk memupuk impak positif serta menyokong usaha penjagaan kesihatan di negara ini.
Sejumlah 104 pain darah berjaya dikumpulkan semasa kempen dua hari itu. Sumbangan berkenaan akan memberi manfaat yang besar dalam menambah bekalan darah dan menyokong pesakit yang memerlukan di Hospital RIPAS.