Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Pelancaran SSEAYP International General Assembly (SIGA) kali ke-31 telah sempurna dirasmikan malam tadi oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin bertempat di Hotel Antarabangsa Rizqun di Gadong.
SIGA merupakan perjumpaan tahunan Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) bagi pihak-pihak yang berkepentingan dari pada perwakilan kerajaan, alumni, keluarga angkat, kakitangan pentadbiran dan sebagainya.
Pada tahun ini seramai 105 orang peserta dari seluruh negara ASEAN dan Jepun telah menghadiri acara berkenaan.
Resepsi malam tadi dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai.
Tema bagi SIGA kali ini Reunite Reignite telah diterangkan oleh Presiden SSEAYP International Brunei BERSATU, Hajah Rosmawatiniah binti Haji Ibrahim dalam ucapannya sebelum Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan berkesudian melancarkan SIGA kali ke-31 diikuti dengan pertunjukan video dan makan malam.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad.
