Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Anak-anak yatim daripada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) turut diambil perhatian kebajikan mereka menjelang Hari Raya Aidifiltri apabila seramai 106 orang anak-anak yatim menerima sumbangan hari ini yang berlangsung di Dewan Stadium Hassanal Bolkiah, Ibu Pejabat Polis Gadong.
Selain anak-anak yatim, seramai 24 orang anak anggota PPDB yang cemerlang turut menerima sumbangan pada bulan Ramadan yang berkat dan mulia ini.
Sumbangan bagi meringankan beban dan membantu perjalanan anak-anak yatim dan cemerlang ini disempurnakan oleh Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali dan Yang Di-Pertua Persatuan Perkumpulan Isteri-Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI), Pengiran Datin Hajah Zauyah binti Pengiran Haji Sulaiman.
Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad Jefri bin Pengiran Haji Abdul Hamid, para pengarah, pegawai-pegawai pemerintah, para pegawai dan kakitangan awam PPDB.
Sumbangan merupakan salah satu acara tahunan yang menyatukan rangkaian kerjasama di antara PPDB dan PEKERTI.
Ia juga dihasatkan menjadi lubuk pahala bagi bekalan dunia dan akhirat anggota PPDB.

