Sunday, June 30, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    106 bekas sisa elektronik haram dirampas

    KUALA LUMPUR, 27 JUN – Malaysia merampas 106 kontena sisa elektronik berbahaya dalam tempoh tiga bulan kebelakangan dan menumpaskan sindiket pengimportan sisa haram selepas mendapat maklumat daripada kumpulan pemerhati, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

    Puluhan juta tan sisa elektronik dihasilkan di seluruh dunia setiap tahun dan banyak peranti dan peralatan yang dibuang boleh membocorkan logam berat, plastik dan bahan kimia toksik yang lain.

    Banyak negara, termasuk Malaysia, telah melarang import sisa elektronik, walaupun penghantaran haram tetap menjadi masalah.

    Antara 21 Mac dan 19 Jun tahun ini, pemeriksa Malaysia menemui 106 kontena penghantaran yang dipenuhi dengan bahan buangan elektronik, kata pihak berkuasa kelmarin.

    Beliau berkata kontena-kontena itu akan dihantar kembali ke negara asalnya, tanpa memberikan butiran tentang dari mana asal usul kontena itu.

    Pegawai Malaysia membuka kontena yang dirampas berisi sisa elektronik di Pelabuhan Klang di pinggir Kuala Lumpur pada 26 Jun. – AFP

    Beliau menambah satu sindiket import haram terlibat dalam kes itu.

    “Sindiket ini menggunakan dokumen palsu untuk mengimport sisa bagi tujuan kitar semula,” katanya kepada pemberita selepas memeriksa kontena yang dirampas kelmarin di Pelabuhan Klang, barat ibu negara Kuala Lumpur.

    Salah satu kontena yang ditunjukkan kepada akhbar dipenuhi dengan apa yang kelihatan seperti timbunan rak.

    Pada 2022, dunia menghasilkan 62 juta tan sisa elektronik dan kurang daripada satu perempat telah dikitar semula, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

    Banyak negara kaya menghantar sisa elektronik mereka ke negara-negara miskin kerana ia lebih murah dan membantu mencapai sasaran kitar semula. Walau bagaimanapun, ini meningkatkan risiko kesihatan dan alam sekitar di negara tersebut. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China keluarkan amaran merah susulan hujan lebat

    BEIJING, 30 JUN - China telah mengeluarkan amaran tahap merah berikutan hujan lebat yang melanda negara itu, kelmarin. Ia juga memberi amaran tentang kemungkinan bencana...