Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – Sebagai hasrat untuk terus menghargai pencapaian para pelajar khususnya dalam bidang akademik tahunan, Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS) hari ini telah mengungkayahkan Majlis Anugerah Akademik Tahun 2024 bertempat di Auditorium, Maktab SOAS.
Secara keseluruhannya, seramai 106 orang pelajar telah diraikan pada majlis tersebut.
Mereka terdiri daripada 70 orang pelajar penerima di bawah Peperiksaan GCE O Level; 29 orang pelajar pula menerima anugerah di bawah Program Pearson BTEC Sijil Lanjutan Antarabangsa Tahap 2 dalam Teknologi Maklumat dan Hospitaliti; empat orang pelajar selaku penerima di bawah pengajian Program Pra-Vokasional Tahun 11; dan tiga orang pelajar lagi penerima yang mendapat pencapaian purata tertinggi bagi Tahun 8.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian anugerah khususnya kepada para penerima di bawah Peperiksaan GCE O Level itu ialah Pemangku Penolong Pengarah, Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Dr Mohamad Khairul bin Haji Matusin.
Anugerah di bawah Peperiksaan GCE O Level itu telah dibahagikan kepada empat kategori utama iaitu Anugerah Akademik Terbaik, Anugerah Pencapaian Akademik, Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Anugerah Pengetua.
Sementara itu, penyampaian sijil dan hadiah kepada golongan pelajar bagi Tahun 8, Program Pra-Vokasional Tahun 11 dan Program Pearson BTEC Sijil Lanjutan Antarabangsa Tahap 2 dalam Teknologi Maklumat dan Hospitaliti itu telah disempurnakan oleh Penolong Guru Kanan Akademik, Maktab SOAS, Haji Muhd Fakhrul Razi bin Haji Morni.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada guru-guru Maktab SOAS yang mengajar di Tahun 11, Program Pra-Vokasional Tahun 11, Tahun 8 dan juga Program Pearson BTEC Sijil Lanjutan Antarabangsa Tahap 2 dalam Teknologi Maklumat dan Hospitaliti di atas segala pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit mereka sepanjang mencurahkan ilmu kepada anak-anak didik mereka.
Turut hadir dalam sama-sama meraikan pencapaian pelajar dan guru maktab berkenaan ialah Pemangku Pengetua Maktab SOAS, Awang Mohammad Zulhisham Shah bin Haji Napiah; Timbalan Pengetua Pentadbiran, Maktab SOAS, Dayang Norliza binti Suhaili; pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan, guru-guru dan juga ibu bapa atau penjaga para pelajar yang diraikan.
Dengan adanya majlis sedemikian diharap mampu mencetuskan lagi semangat jiwa raga para pelajar dan tidak terkecuali guru-guru untuk terus berjaya dalam pelbagai bidang yang diceburi pada masa akan datang. Di samping itu, ia juga secara tidak langsung menjadi pendorong pelajar-pelajar lain untuk berusaha dengan gigih dalam sama-sama meraih kecemerlangan dari semasa ke semasa.