CHON BURI, Thailand, 26 Julai – Beratus-ratus kanak-kanak sekolah dan para pegawai tentera laut Thailand telah melepaskan sekitar 1,066 ekor penyu ke laut hari ini dalam satu majlis yang dihasratkan untuk membawa nasib baik kepada raja baru Maha Vajiralongkorn, yang meraikan ulang tahun hari keputeraan ke-65 pada Jumaat ini.
Penyu, dilihat sebagai simbol panjang umur, berjalan terkedek-kedek menuju ombak di pangkalan tentera laut Sattahip di wilayah Chonburi.
Ramai penganut Buddha Thailand berpendapat bahawa membebaskan haiwan dalam kurungan seperti penyu atau burung sebagai satu cara untuk mendapatkan karma yang baik.
“Penyu adalah haiwan yang mempunyai jangka hayat yang panjang. Jika kita membebaskannya, ia akan membantu raja kita mendapat umur yang panjang juga,” kata Eagarat Promlumpug, seorang pegawai yang membantu menguruskan program pemuliharaan penyu tentera laut.

Bilangan penyu yang dibebaskan juga dilihat sebagai tuah, dengan ‘66’ – pertambahan satu lagi tahun dari usia raja – mewakili harapan bagi umur yang panjang.
Pusat itu mengumpul ribuan telur penyu setiap tahun dan membiakkan reptilia itu sebelum membebaskannya ke Teluk Thailand.
Ulang tahun hari keputeraan Vajiralongkorn pada 28 Julai, diumumkan cuti awam oleh pemerintah junta selepas baginda menaiki takhta tahun lalu. – AFP