Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 30 Mei – Sejumlah $10,725 wang zakat telah diagih-agihkan kepada 20 orang ketua keluarga dan 27 orang tanggungan pada Majlis Penyampaian Agihan Zakat Wang Tunai kepada Asnaf Fakir Miskin, Menjelang Hari Raya Tahun 1438H/2017M di Masjid Kampung Sungai Teraban, di sini, hari ini.
Agihan zakat berupa wang tunai sejumlah $300 kepada setiap ketua keluarga dan $175 kepada orang yang di bawah tanggungannya telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, selaku Naib Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam.
Kesemua wang tunai tersebut diambil daripada Peruntukan Kumpulan Wang Zakat Asnaf Fakir Miskin.
Agihan zakat wang tunai tersebut diharapkan supaya akan dapat meringankan sedikit sebanyak keperluan harian para penerima dan dengan harapan semoga para asnaf fakir miskin sekeluarga akan sentiasa taat menunaikan perintah Allah S.W.T dan menjauhi segala larangan-Nya.
