Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Seramai 11 orang ahli Bersatu Bikers Club (BBC) telah menyertai acara Minggu Pemotoran Antarabangsa yang berlangsung di Wilayah Persekutuan Labuan, kelmarin.
Rombongan tersebut diketuai oleh Yang Dipertua Bersatu Bikers Club, B10 Awang Haji Mohammad Isa bin Haji Marsidi, bersama Setiausaha 1, B18 Pengiran Jaya bin Pengiran Haji Bakar; Setiausaha 2, B17 Sarinah binti Zainal Abidin dan beberapa ahli jawatankuasa tadbir serta ahli kelab yang lain.
Sebagai memenuhi jemputan pihak penganjur, acara pertukaran cenderamata turut diadakan sebagai kenangan bersama.
Menurut kenyataan Setiausaha 1, B18 Pengiran Jaya bin Pengiran Haji Bakar, penyertaan kali ini merupakan penyertaan kedua BBC dalam acara Minggu Pemotoran Antarabangsa Labuan International Bike Week, selepas penyertaan di Minggu Pemotoran Miri pada bulan Ogos yang lalu.
Beliau berharap agar ahli-ahli Bersatu Bikers Club akan terus memberikan kerjasama dan sokongan bagi sama-sama memajukan Bersatu Bikers Club ke hadapan.


