Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Dengan maklumat risikan dan pemantauan yang semakin dipergiatkan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya menemukan beberapa bungkusan kotak berwarna hitam yang mencurigakan hari ini di sebuah pondok kecil di dalam sebuah hutan di kawasan Kampung Lakiun, Jalan Labu Temburong.
Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan ke atas bungkusan tersebut menemukan
sebanyak 11 botol dan 480 tin minuman keras pelbagai jenama.
Penemuan sekitar waktu pagi tadi adalah hasil pemantauan daripada keanggotaan detektif Balai Polis Bangar, PPDB. Pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) kemudiannya dihubungi bagi tindakan dan siasatan selanjutnya.
Jalan-jalan tikus sering digunakan sebagai salah satu cara untuk membawa masuk barang tegahan ke negara ini.
PPDB ingin menyeru orang ramai bagi menyalurkan dan mengongsikan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah kepada PPDB melalui talian 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.
