Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MAC – Progresif Sdn Bhd mengesahkan komitmennya terhadap kebajikan masyarakat melalui inisiatif kutipan sumbangan Ramadan tahunannya, Gifts From The Heart.
Tahun ini, Progresif meneruskan bantuannya kepada 11 buah keluarga daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi di Brunei, dengan tumpuan khusus untuk membantu ibu tunggal.
Inisiatif itu bertujuan untuk meringankan keperluan segera, memastikan keluarga mendapat sokongan semasa di bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri akan datang.
Dari 26 Februari hingga 3 Mac lalu, kutipan derma itu mengalu-alukan sumbangan daripada pihak syarikat berkepentingan dan orang ramai.
Pendermaan yang murah hati, termasuk barangan keperluan seperti beras, minyak masak dan makanan kering, menekankan semangat kolektif belas kasihan dan muhibah masyarakat.
Progresif mengiktiraf kepentingan perpaduan masyarakat dan menggalakkan sokongan berterusan untuk tujuan yang bermakna itu.
Ajaran dan pandangan Nabi Muhammad SAW menekankan kepentingan belas kasihan dan kemurahan hati, nilai-nilai yang penting kepada etos Progresif.
“Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua individu dan entiti yang menyumbang kepada kejayaan inisiatif ini. Bersama-sama, kita telah membuat perubahan ketara dalam kehidupan keluarga daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi dalam masyarakat kita, menjiwai semangat sebenar memberi pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan,” ujar Ketua Perhubungan Awam dan Komunikasi Progresif, Dayang Hafiza binti Mohamad.


