Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Ogos – Sebanyak 11 buah pasukan bola keranjang akan beraksi untuk merebut gelaran Juara Piala Aewon, Kejohanan Bola Keranjang Terbuka Brunei 2017 yang akan berlangsung di Gelanggang Bola Keranjang Kampung Baru, Seria bermula19 Ogos nanti.
Dalam kejohanan yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Keranjang Daerah Belait itu, ia dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan A terdiri daripada pasukan Hokage, GKL, Rotary, Ekar Sdn Bhd, 10 AM, TK Tea House dan Propel Trading & Services, manakala Kumpulan B pula terdiri daripada pasukan DIP Garage CSS, BU-Ayang Son Sdn Bhd, Spartan, Wolve, Halif & Son dan Chicken King Fast Food Restaurant.
Sehubungan dengan itu, majlis penyampaian piala kejohanan oleh penaja utama kejohanan diadakan di Pejabat Aewon, Bandar Seri Begawan, kelmarin di mana piala bagi kejohanan berkenaan disampaikan oleh Pengarah Aewon, Lau Chai Sing kepada Pengerusi Persatuan Bola Keranjang Daerah Belait, Wong Ming Ching.
Perlawanan pertama kejohanan itu dijadualkan untuk bermula pada 19 Ogos, pada pukul 7 malam di Gelanggang Bola Kerajang Kampung Baru, yang akan menyaksikan perlawanan di antara Pasukan 10 Am menentang Pasukan Rotary.
Kejohanan itu dihasratkan dapat meningkatkan mutu permainan sukan bola keranjang tempatan, malah ia juga dihasratkan untuk menggalakkan gaya hidup yang sihat menerusi kegiatan sukan dan riadah.