ISTANBUL, 27 JULAI – Sekurang-kurangnya 11 orang sedang dirawat di Pusat Perubatan Munson selepas insiden tikaman di sebuah pasar raya Walmart di negeri Michigan, Amerika Syarikat pada Sabtu, menurut Munson Healthcare.
Dalam kejadian itu, seorang suspek telah ditahan, lapor Anadolu Ajansi memetik kenyataan pihak polis.
“Kami mengesahkan bahawa 11 mangsa sedang dirawat di Pusat Perubatan Munson. Doa dan ingatan kami bersama semua yang terkesan dalam insiden ini.
“Kami juga berterima kasih kepada pasukan penyelamat dan pihak berkuasa atas tindakan pantas mereka,” menurut kenyataan hospital.
Serangan berlaku sekitar jam 5 petang (waktu tempatan) di Traverse City, mencetuskan respons kecemasan di kawasan berkenaan.
Polis Negeri Michigan turut menggesa orang ramai agar menjauhi kawasan kejadian.
“Ketika ini, tiada ancaman terhadap orang awam,” kata pihak berkuasa.
Premis Walmart dan beberapa perniagaan berdekatan telah ditutup dan dikawal sebagai langkah berjaga-jaga. Siasatan diketuai oleh Pejabat Sheriff Daerah Grand Traverse.
Pasukan penyelamat masih berada di lokasi kejadian lewat malam Sabtu ketika pihak berkuasa meneruskan operasi dan mengumpul maklumat lanjut.
Traverse City merupakan sebuah bandar kecil yang terletak di pesisir Tasik Michigan, dengan populasi sekitar 15,000 orang. – Bernama/Anadolu