Thursday, October 17, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    11 cicak tanpa telinga di ambang kepupusan

    SYDNEY – Cicak tanpa telinga, yang boleh ditemui di kawasan padang rumput di Australia, hanya sebesar jari kelingking ketika ia menetas daripada telur, namun haiwan kecil itu berdepan cabaran besar dalam beberapa tahun akan datang iaitu mengelak kepupusan.

    Setakat tahun 2019, saintis di Canberra merekodkan terdapat ratusan cicak tanpa telinga padang rumput di alam liar. Namun tahun ini, mereka hanya menemui 11 ekor sahaja.

    Di kawasan lain di negara itu, cicak tersebut tidak kelihatan sejak tiga dekad.

    Cicak tanpa telinga yang berwarna coklat muda dan mempunyai jalur putih panjang di badannya berukuran kira-kira 15 sentimeter (saiz bil AS$1) apabila dewasa sepenuhnya.

    Binatang itu digelar cicak tanpa telinga kerana tidak mempunyai lubang telinga luaran dan gendang telinga tidak berfungsi.

    Gambar yang diambil pada 25 Mac 2024 ini menunjukkan seekor cicak tanpa telinga berada di padang rumput di Rizab Semula Jadi Tidbinbilla yang terletak di pinggir ibu kota Australia, Canberra. – AFP
    Cicak tanpa telinga di padang rumput Australia bersaiz kecil dari jari kelingking manusia ketika ia keluar dari cangkerangnya. – AFP
    Profesor Bernd Gruber dari Universiti Canberra sedang memeriksa kandang yang menempatkan cicak tanpa telinga di padang rumput. – AFP

    Australia mempunyai empat spesies cicak tanpa telinga. Tiga daripadanya adalah kritikal terancam, tahap risiko tertinggi, manakala yang keempat adalah terancam.

    Cicak tanpa telinga yang sangat terancam kemungkinan akan pupus dalam masa 20 tahun jika tiada usaha pemuliharaan.

    “Jika kita menguruskan pemuliharaan haiwan itu dengan betul, kita boleh menambah jumlahnya,” kata Profesor Bernd Gruber, dari Universiti Canberra, yang sedang berusaha ke arah itu.

    Australia adalah rumah kepada ribuan haiwan unik, termasuk 1,130 spesies reptilia yang tidak ditemui di tempat lain di dunia.

    Perubahan iklim, tumbuhan dan haiwan invasif, serta pemusnahan habitat, seperti kebakaran hutan pada tahun 2019 yang memusnahkan lebih daripada 46 juta ekar telah mendorong spesies asli Australia di ambang kepupusan.

    Sejak 300 tahun yang lalu, kira-kira 100 spesies flora dan fauna unik Australia telah pupus dari planet ini.

    Untuk menyelamatkan cicak tanpa telinga, terdapat beberapa program pembiakan yang sedang dijalankan di seluruh Australia, termasuk kemudahan bio-sekuriti di kawasan hutan Canberra yang diawasi oleh Gruber.

    Di rak-rak terdapat puluhan tangki yang menempatkan cicak-cicak tersebut, seekor dalam setiap bekas dengan lubang sarang, rumput dan lampu haba untuk memanaskan haiwan itu.

    Masalah terbesar adalah mencari pasangan, yang mana cicak betina lebih suka memilih pasangannya sendiri.

    Itu bermakna saintis perlu memperkenalkan cicak jantan yang berbeza kepada betina sehingga cicak betina bersetuju.

    Jika keadah tersebut tidak berkesan, saintis perlu menggunakan analisis genetik untuk menentukan cicak mana yang serasi bersama dan memastikan kepelbagaian genetik dalam keturunannya.

    Program pembiakan di seluruh Australia boleh mempunyai sehingga 90 cicak tanpa telinga, yang akhirnya akan dilepaskan kembali ke alam liar pada bila-bila masa.

    Pada masa ini, Gruber sedang menjaga lebih daripada 20 cicak kecil yang baru menetas. Saintis hampir terlepas telur kecil itu sehingga tiga minggu lalu.

    “Terdapat sinar harapan untuk haiwan-haiwan ini,” katanya kepada AFP.

    Di sebalik usaha para saintis, cicak-cicak itu menghadapi habitat yang semakin mengecil dan iklim yang berubah.

    Pejuang Yayasan Pemuliharaan Australia, Peta Bulling berkata, cicak-cicak itu hanya hidup di padang rumput sederhana, kebanyakannya telah dimusnahkan oleh pembangunan bandar.

    Hanya 0.5 peratus daripada padang rumput yang ada pada masa penjajahan Eropah masih wujud.

    Tanpa cicak-cicak itu, padang rumput alpine Australia mungkin kelihatan sangat berbeza.

    “Kami tidak memahami sepenuhnya apa yang dilakukan oleh cicak tanpa telinga di padang rumput dalam ekosistem, tetapi kami boleh membuat andaian bahawa binatang itu memainkan peranan pen-ting dalam menguruskan populasi haiwan jenis invertebrata.

    Binatang itu hidup dalam lubang di dalam tanah, jadi mungkin binatang itu juga mengudarakan tanah dengan cara yang berbeza,” katanya kepada AFP.

    Bulling berkata walaupun penting untuk memulihkan cicak itu kembali, namun ia juga penting untuk melindungi habitat binatang itu agar cicak yang baru diselamatkan itu mempunyai tempat tinggal.

    “Binatang itu sangat khusus untuk hidup dalam habitatnya tetapi tidak akan dapat menyesuaikan diri dengan cepat terhadap perubahan,” katanya.

    Tahun lalu, saintis menemui semula sejumlah kecil jenis cicak tanpa telinga lain selepas 50 tahun di kawasan yang dirahsiakan atas sebab pemuliharaan.

    Dana sedang diberikan untuk memahami betapa pentingnya populasi itu dan apa yang boleh dilakukan untuk melindunginya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda