ISTANBUL, 18 NOV – Seramai 11 individu telah ditahan berhubung kematian empat ahli sebuah keluarga akibat keracunan di Istanbul, menurut agensi berita milik kerajaan, agensi Anadolu kelmarin.
Seorang wanita warga Turkiye-Jerman, suaminya dan dua anak mereka, yang sedang bercuti dari Jerman di bandar terbesar Turkiye itu, jatuh sakit pada Rabu selepas menikmati beberapa hidangan makanan jalanan popular di kawasan tepi pantai Ortakoy, berhampiran jambatan yang merentasi Selat Bosphorus.
Mereka dibawa ke hospital, namun dua anak mereka meninggal dunia pada Khamis manakala ibu mereka sehari kemudian. Anadolu mengenal pasti mereka sebagai Cigdem Bocek, anak lelakinya Kadir, enam tahun, dan anak perempuannya Masal, tiga tahun.
Bapa, Servet Bocek, meninggal dunia kelmarin selepas beberapa hari dirawat di unit rawatan rapi.
Pendakwa raya Istanbul membuka siasatan, pada mulanya menumpukan pada kemungkinan keracunan makanan.
Namun, bukti terbaharu menunjukkan keluarga tersebut mungkin terdedah kepada racun perosak di hotel tempat mereka menginap, lapor media Turkiye.
Memetik penyiasat, akhbar tempatan Hurriyet berkata satu bahan telah disembur di bilik tingkat bawah hotel untuk mengawal serangan pepijat katil dan mungkin menembusi bilik keluarga itu di tingkat satu melalui pengudaraan bilik mandi.
Hotel yang tidak dinamakan itu di kawasan Fatih berhampiran semenanjung bersejarah Istanbul telah dikosongkan pada Sabtu selepas dua lagi tetamu dimasukkan ke hospital dengan gejala serupa, menurut Anadolu. Hotel tersebut ditutup oleh pihak berkuasa bandar pada Ahad, tambah agensi itu. – AFP

