JAKARTA, 22 Feb – Seramai 11 orang hilang dan 14 yang lainnya mengalami kecederaan berikutan kejadian tanah runtuh hari ini di lereng-lereng teres sawah di pulau Jawa, kata para pegawai.
Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Alam, Sutopo Purwo Nugroho, berkata insiden itu berlaku di Kampung Pasir Panjang ketika petani terbabit mengerjakan sawah mereka yang terletak di sebuah bukit.
“Tanah runtuh itu menimbus petani yang bekerja di sawah mereka,” Sutopo Purwo Nugroho dalam satu kenyataan.
Insiden itu menyusul beberapa hari selepas hujan lebat di kawasan pergunungan, iaitu kira-kira tujuh jam di timur ibu kota Jakarta.
Sementara 14 lagi petani mengalami kecederaan dan telah dibawa ke pusat perubatan berdekatan untuk rawatan.
Para penyelamat termasuk tentera, polis dan sukarelawan tempatan sedang menggali serpihan untuk mencari mangsa yang selamat, kata Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan tersebut.
Penduduk telah dilarang memasuki kawasan itu kerana bimbang berlakunya tanah runtuh.
“Tanah tidak stabil, jika hujan, ia mungkin berbahaya,” kata Apriyanto Sudarmoko, ketua daerah kepada stesen TV nasional.
“Kami juga meminta penduduk yang tinggal berhampiran tapak itu untuk mengosongkan rumah mereka sehingga keadaan selamat.”
Kejadian tanah runtuh merupakan sesuatu perkara biasa di Indonesia, terutamanya semasa musim hujan antara Oktober dan April, apabila hujan melanda negara itu.
Lapan pelombong terbunuh di lereng Gunung Merapi, sebuah gunung berapi aktif berhampiran bandar Jogjakarta, pada Disember tahun lalu.
Sebulan sebelumnya sekurang-kurangnya 11 orang maut dalam insiden banjir dan tanah susur di Pacitan, Jawa Timur.
Sementara itu dalam kejadian berasingan, satu gempa bumi sederhana dengan kekuatan 5.2 skala Richter menggegarkan Pulau Seram, di Indonesia pada 3.22 petang tadi.
Dalam satu kenyataan di sini, Jabatan Meteorologi Malaysia berkata gempa bumi itu berpusat 251 kilometer dari barat daya Sorong, Papua Barat. Ia tidak membawa ancaman tsunami, demikian menurut kenyataan tersebut. – AFP/Bernama