NEW YORK, 29 JUN – Pendakwa raya persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat telah mendakwa 11 individu yang terlibat dalam satu skim berpangkalan di Rusia untuk menipu Medicare – program insurans kesihatan AS bagi warga emas dan orang kurang upaya – sebanyak AS$10.6 bilion menerusi bil palsu bagi peralatan perubatan mahal.
Menurut dokumen pendakwaan bertarikh 18 Jun, ‘organisasi jenayah rentas negara’ itu menjalankan skim penipuan dan pengubahan wang haram dalam sektor penjagaan kesihatan bernilai berbilion dolar”, termasuk membeli puluhan syarikat pembekal peralatan perubatan daripada pemilik asal yang sah untuk melaksanakan penipuan tersebut.
Lebih sejuta penerima Medicare telah menjadi mangsa pencurian maklumat peribadi yang kemudian digunakan oleh para tertuduh untuk membuat tuntutan bernilai berbilion dolar daripada Medicare dan syarikat insurans tambahan, menurut pihak pendakwa.
Tuntutan itu dikemukakan melalui penyedia peralatan perubatan yang telah dibeli oleh kumpulan berkenaan, namun tiada peralatan yang dihantar sebagai balasan kepada bayaran tersebut.
Medicare telah membayar sekitar AS$41 juta hasil daripada tuntutan palsu tersebut, manakala syarikat insurans tambahan dianggarkan telah membayar lagi AS$900 juta antara tahun 2022 hingga 2024, tulis pendakwa raya.
Skim penipuan itu diketuai oleh Imam Nakhmatullaev, yang berpangkalan di Rusia, dan menguruskan para tertuduh lain yang berada di Estonia, Republik Czech dan AS.
Penipuan itu dikesan selepas ratusan ribu rakyat Amerika membuat aduan kepada Medicare dan kontraktornya selepas menerima penyata faedah yang menunjukkan mereka kononnya menerima peralatan yang tidak pernah mereka mohon atau terima, menurut dokumen pendakwaan. – AFP
