ISTANBUL, 23 JAN – Pihak berkuasa Turkiye menahan 11 individu sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung kebakaran sebuah hotel di pusat peranginan ski di Wilayah Bolu, dengan angka korban mening-kat kepada 79 orang, lapor agensi Anadolu (AA) kelmarin.
Kebakaran yang berlaku pada Selasa kira-kira 3:30 pagi waktu tempatan di kawasan restoran hotel Pusat Peranginan Ski di Kartalkaya dengan cepat merebak ke seluruh bangunan, menurut Gabenor Bolu, Abdulaziz Aydin.
Seramai 17 mangsa yang cedera telah dibenarkan keluar dari hospital manakala seorang lagi masih dirawat di unit rawatan rapi, kata Menteri Kesihatan, Kemal Memisoglu kepada pemberita.
Menurut Menteri Kehakiman, Yilmaz Tunc, Pejabat Ketua Pendakwa Raya Bolu sedang menjalankan siasatan menyeluruh.
“Antara yang ditahan termasuk timbalan datuk bandar Bolu yang bertanggungjawab ke atas jabatan bomba, ketua bomba majlis perbandaran, pemilik hotel, pengurus besar syarikat dan pengurus hotel,” tulis Tunc di platform X.
Beliau berkata pasukan yang terdiri daripada tujuh pakar sedang menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian untuk menentukan punca kebakaran serta menilai sebarang unsur kecuaian. – Bernama