ISTANBUL, 20 NOV – Helikopter Turkiye menjalankan misi mencari 11 orang kru kapal yang hilang apabila kapal mereka tenggelam dalam ribut kuat yang mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang.
Kapal kargo Kafkametler tenggelam dengan 12 orang kru di dalamnya selepas merempuh sebuah tembok laut kelmarin semasa cuba mencari perlindungan daripada angin kencang dan ombak kira-kira 200 kilometer (120 batu) di timur Istanbul.
Menteri Dalam Negeri Ali Yerlikaya mengatakan mayat seorang kru telah ditemui dan misi mencari 11 orang yang lain dilanjutkan pada hari ini selepas ribut reda.
Kapal berbendera Turkiye itu membawa ferrosilikon aloi yang digunakan dalam pembuatan keluli – dari pelabuhan Rusia Temryuk ke Aliaga di Turkiye.
Penyelamat juga berjaya menyelamatkan kru Turkiye di sebuah kapal berdaftar Cameroon yang pecah dua dan tenggelam di kawasan yang sama kelmarin.
Pada hujung minggu, ribut membadai banyak kawasan di Tukiye dengan tiga orang kanak-kanak dari keluarga sama yang terkorban dalam banjir kilat di wilayah Batman.
Ribut itu berlaku selepas musim panas yang sangat kering yang menyaksikan tasik-tasik Istanbul mencapai tahap terendah dalam sembilan tahun.
Sebahagian besar Turkiye mengalami kemarau yang berpanjangan, yang saintis kaitkan dengan perubahan iklim dan pengurusan air yang buruk. – AFP