Saturday, February 15, 2025
32.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    11 lagi wanita tanpa rahim kerana salah diagnosis

    STOCKHOLM, 14 FEB – Sebuah hospital di Sweden yang pada tahun lalu mendedahkan bahawa 33 wanita telah menjalani histerektomi yang tidak perlu pada 2023 dan 2024 akibat diagnosis kanser yang salah, kelmarin mengumumkan bahawa mereka telah menemui 11 lagi kes dari tahun 2022.

    Hospital Universiti Uppsala mengumumkan pada Oktober 2024 bahawa 33 wanita telah salah didiagnosis berisiko menghidap kanser rahim dan disyorkan untuk menjalani pembedahan.

    Diagnosis yang salah itu ditemui selepas hospital tersebut melihat peningkatan ‘tidak dapat dijelaskan’ dalam kes-kes tersebut dan memulakan semakan.

    Hospital itu kelmarin berkata ia telah menemui 11 wanita lagi yang telah menjalani pembedahan pembuangan rahim secara tidak perlu pada 2022, selain seorang wanita yang juga didiagnosis salah tetapi tidak menjalani pembedahan tersebut.

    “Kami ingin memohon maaf kepada semua wanita yang terjejas oleh perkara ini. Ia sepatutnya tidak berlaku,” kata Johan Lugnegard, ketua doktor di hospital itu dalam satu kenyataan.

    Gambar Freepik

    “Kami mengambil perkara ini dengan sangat serius dan ingin mengetahui sejauh mana serta punca masalah ini,” tambahnya.

    Hospital tersebut berkata wanita-wanita tersebut telah didiagnosis dengan Endometrial Intraepithelial Neoplasia (EIN), satu keadaan yang menjadi tanda awal kanser rahim.

    Semakan hospital itu mendedahkan ‘diagnosis berlebihan yang sistematik’.

    Hospital berkenaan berkata ia telah menghubungi 11 wanita tersebut dan mereka akan ditawarkan peluang untuk memohon pampasan, seperti yang diberikan kepada 33 wanita yang terjejas pada 2023 dan 2024.

    Sebahagian besar wanita yang terjejas pada 2023 dan 2024 berusia dalam lingkungan 50-an dan 60-an, kata Lugnegard tahun lalu, tetapi tiada maklumat diberikan kelmarin mengenai usia wanita-wanita yang terjejas pada 2022.

    Hospital Universiti Uppsala telah mengubah rutin mereka sejak diagnosis salah ditemui dan “mengambil langkah-langkah untuk mencegah kesilapan serupa daripada berlaku,” tambah mereka. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda