BEIJING, 24 JULAI – Sebelas orang maut, manakala seorang lagi mangsa terperangkap selepas bumbung sebuah gimnasium sekolah di timur laut China, runtuh semalam.
Agensi berita Xinhua melaporkan bumbung sebuah gimnasium di sebuah sekolah menengah di bandar Qiqihar, China, yang terletak di Wilayah Heilongjiang, runtuh kira-kira jam 3 petang waktu tempatan, dipercayai ketika sesi latihan pasukan bola tampar wanita, memerangkap 10 orang mangsa.
Berdasarkan laporan CCTV hari ini, terdapat 19 orang di dalam gimnasium semasa kejadian. Setakat jam 5:30 pagi tadi, seramai 14 orang berjaya dikeluarkan daripada runtuhan itu.
Empat daripada mangsa ditarik keluar dengan keadaan sudah tidak bernyawa, manakala enam lagi meninggal dunia selepas mendapatkan rawatan.
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa membabitkan hampir 160 anggota bomba dan 39 trak bomba digerakkan dalam misi berkenaan,” siar CCTV.
Siasatan awal berhubung insiden runtuhan itu mendapati pekerja binaan meletakkan ‘perlite’ iaitu sejenis kaca gunung berapi di atas bumbung, lapor Xinhua.
Hujan lebat kemudian menyebabkan bahan kaca itu mengembang sebelum menyebabkan bumbung runtuh.
“Mereka yang bertanggungjawab ke atas syarikat pembinaan itu telah ditahan polis,” lapor agensi itu. – AFP
