NEW DELHI, 31 Julai – Kilat telah mengakibatkan kematian kira-kira 11 orang di timur India ketika kawasan luas di negara itu berusaha pulih dari kejadian banjir teruk dalam tempoh bertahun-tahun yang telah mengorbankan beratus-ratus orang dan berjuta-juta orang berpindah tempat, menurut para pegawai hari ini.
Mangsa-mangsa sedang bekerja di ladang di negeri Odisha apabila panahan kilat menyambar mereka, menurut pegawai tertinggi pengurusan bencana negeri itu. Seramai 15 orang cedera manakala 11 lagi maut.
“Angka kematian mungkin meningkat kerana ramai mengalami cedera parah,” A. K. Das, ketua pihak berkuasa memberitahu AFP.
Negeri itu juga teruk dilanda oleh banjir dan tiga lagi mayat ditemui di daerah Jajpur, yang menjadikan angka kematian di rantau itu akibat banjir kepada tujuh orang dalam tempoh 48 jam.
Hujan lebat telah melanda beberapa buah negeri India yang lain, merosakkan jalan raya dan rangkaian elektrik, dengan hampir 700 kematian dilaporkan di seluruh negara.
Kira-kira 20 buah negeri dilanda musim monsun masa ini yang bermula Jun lalu.
Di negeri barat Gujarat, 213 orang terbunuh akibat banjir yang melanda berminggu-minggu lamanya, menurut pengurusan bencana negeri.
Kematian hampir dua kali ganda pada hujung minggu hingga ke tahapnya masa ini dengan kira-kira 100 mayat ditemui selepas air mulai surut.
Suresh Kumar, pegawai tertinggi pengurusan bencana West Bengal berkata kira-kira 31 kematian dilaporkan dalam tempoh seminggu banjir di negeri itu.
“Hujan lebat telah mengakibatkan kerosakan besar di beberapa daerah,” Kumar memberitahu AFP. – AFP