KARACHI, 2 APRIL – Sekurang-kurangnya 11 maut akibat dirempuh orang ramai ketika menerima sumbangan sempena Ramadan di Karachi, semalam.
Pegawai kanan polis bandar Baldia di barat Karachi, Fida Janwari, berkata rempuhan itu berlaku apabila wanita berpusu-pusu ke lokasi agihan sumbangan bagi mendapatkan bekalan untuk anak mereka.
Sehubungan itu, katanya, tiga pekerja kilang ditahan kerana gagal memaklumkan penganjuran acara terbabit kepada polis, bagi membolehkan kawalan dilakukan di sana.
“Orang ramai mula berlari untuk cuba meloloskan diri selepas keadaan bertukar panik,” katanya kepada AFP.
Sementara itu, jurucakap Muhammad Farraukh, berkata mayat enam wanita dan tiga kanak-kanak dibawa ke hospital Abbasi Shaheed.
Seorang pegawai pertubuhan bukan kerajaan berkaitan penyelamat pula berkata, dua mayat lagi dihantar ke hospital lain, manakala pakar bedah polis, Summaiya Syed Tariq mengesahkan jumlah keseluruhan mangsa yang maut 11 orang, semalam.
Sementara itu, Pegawai pentadbiran tempatan, Fatima Noor, 22, menganggarkan sehingga 700 orang berkumpul di kawasan terbabit. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/04/P11-3-11-maut_03042023.jpg)