Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    11 mayat mangsa tanah runtuh Nepal ditemukan

    KATHMANDU, 15 JULAI – Pasukan penyelamat di Nepal telah menemui 11 mayat dari sungai selepas dua bas yang membawa penumpang dihanyutkan tanah runtuh, menurut pegawai tempatan, hari ini.

    Mayat-mayat tersebut ditemui di beberapa lokasi di sepanjang tebing sungai semasa operasi mencari bas dan kira-kira 50 penumpang yang berada di dalamnya.

    Pentadbir kerajaan, Khima Nanda Bhusal berkata, tujuh mayat telah dikenal pasti dan keluarga mereka telah dihubungi. Tiga daripada mangsa adalah warga India manakala empat lagi adalah warganegara Nepal.

    Beliau berkata empat lagi mayat juga ditemui di sungai, namun kerana mereka belum dikenal pasti, tidak jelas sama ada mereka adalah penumpang bas tersebut.

    “Kami akan meneruskan pencarian selagi diperlukan dan tidak akan berputus asa. Kami akan bekerja sehingga kesemua mereka ditemui,” katanya.

    Bas-bas tersebut berada di lebuh raya utama yang menghubungkan ibu negara Nepal ke bahagian selatan negara itu apabila dihanyutkan oleh tanah runtuh pada pagi Jumaat berhampiran Simaltal, kira-kira 120 kilometer di barat Kathmandu. Tiga orang telah dikeluarkan dari bas dan sedang dirawat di hospital berdekatan.

    Mayat pertama ditemui kelmarin kira-kira 50 kilometer dari lokasi bas jatuh. Mayat lain ditemui sejauh sempadan dengan India. Dua daripada mereka ditemui di Tribeni, lebih daripada 100 kilometer dari lokasi tanah runtuh, kata pegawai.

    Keluarga mangsa yang hilang berkumpul di sungai untuk mendapatkan maklumat sementara pasukan penyelamat dari pasukan keselamatan menggunakan magnet, peralatan menyelam skuba dan peranti imej sonar bawah air untuk mencari mangsa. – AP

    Anggota tentera Nepal menjalankan operasi mencari mangsa yang terselamat kira-kira 120 kilometer barat ibu kota Kathmandu, Nepal, baru-baru ini. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda