SEOUL, 16 OKT – Sebanyak 11 buah negara, termasuk Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun, akan melancarkan langkah bersama yang baharu untuk memantau pelanggaran sekatan Korea Utara, kata kementerian luar Seoul, hari ini.
Keputusan itu dibuat susulan daripada keputusan Rusia untuk memveto pembaharuan panel pakar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang memantau sekatan antarabangsa ke atas Korea Utara Mac lalu, dengan berkesan menamatkan pengawasan rasmi sekatan yang dikenakan bagi program nuklear dan senjata yang diharamkan di Utara.
Keputusan veto oleh Rusia mendapat kritikan hebat, dengan AS menggelarnya sebagai usaha bagi kepentingan diri untuk menguburkan laporan panel mengenai pakatan sulitnya dengan Korea Utara.
Sejak itu, Seoul dan negara-negara lain telah berusaha untuk menggunakan kaedah yang berbeza untuk meneruskan pemantauan sekatan, dengan duta AS ke PBB berkata mereka sedang meneroka beberapa cara kreatif dan pemikiran di luar kotak untuk memastikan kesinambungan aktiviti pemantauan.
Korea Selatan bersama AS dan Jepun serta lapan negara lainnya terdiri daripada Perancis, Britain, Jerman, Itali, Belanda, Kanada, Australia dan New Zealand akan mengambil bahagian dalam pasukan pemantau sekatan pelbagai hala (MSMT).
“MSMT adalah sejajar dengan komitmen kami untuk menegakkan keamanan dan keselamatan antarabangsa serta bagi melindungi rejim global dan menangani ancaman yang timbul daripada senjata pemusnah besar-besaran (Korea Utara) serta program peluru berpandu balistik,” kata negara-negara itu dalam satu kenyataan bersama.
MSMT akan memantau dan melaporkan pelanggaran dan pengelakan langkah-langkah sekatan resolusi Majlis Keselamatan PBB, katanya.
“Keutamaan kami adalah untuk meneruskan rejim sebelumnya,” kata Timbalan Setiausaha Negara AS, Kurt Campbell, dalam sidang akhbar bersama di Seoul hari ini. – AFP