KIGALI, 27 Feb – Angka kematian mencecah 11 orang ketika anggota polis Rwanda menyuraikan kerumunan orang ramai yang menentang pemotongan bekalan makanan, kata agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kelmarin.
Polis sebelum ini melaporkan bahawa lima pelarian Congo maut manakala lebih 20 lagi cedera dalam rusuhan Khamis lalu.
Kejadian itu adalah susulan protes beberapa hari mengenai pengurangan bekalan bantuan makanan di kem pelarian Kiziba di barat Rwanda.
Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) dalam satu kenyataan berkata, kesemua 11 mangsa itu terbunuh dalam pertempuran di dua lokasi.
“Tragedi ini sebenarnya boleh dielakkan dan penggunaan kekerasan ke atas pelarian adalah satu perkara yang tidak boleh diterima,” kata Pegawai Hubungan Luar UNHCR, Daniela Ionita.
“UNHCR menggesa pihak berkuasa menghentikan kekerasan ke atas golongan ini dan menyiasat dengan terperinci tragedi terbabit.
“Agensi Pelarian PBB amat terkesan dan terkejut dengan kematian semua pelarian berkenaan,” tambahnya.
Antara mangsa yang cedera termasuk anggota polis dan petugas UNHCR sendiri.
Lapan daripada pelarian itu terkorban di bandar Karongi, di mana beribu-ribu orang telah mengadakan bantahan di luar pejabat Program Makanan Sedunia, dan tiga orang mati dalam Kem Kiziba.
Keadaan di khemah Kiziba, yang menempatkan lebih 17,000 orang pelarian Congo, telah dilaporkan tenang kelmarin. UNHCR dijangka meneruskan kerja bantuan di kem hari ini.
Lebih 173,000 pelarian Congo dan Burundi ditempatkan di enam kem di Rwanda, ramai yang telah berada di sana selama lebih dari 20 tahun.
Program Makanan Sedunia mengurangkan bekalan makanan di kem-kem kepada kira-kira 10 peratus pada November 2017 dan 25 peratus pada Januari 2018 disebabkan kekurangan dana.
Pembiayaan yang rendah telah menyebabkan operasi kemanusiaan terjejas di Rwanda.
Rayuan UNHCR 2018 untuk AS$98.8 juta untuk menyokong pelarian di Rwanda hanya dua peratus dibiayai. – AFP