PUTRAJAYA, 13 JUN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan 17 orang termasuk 11 pegawai kastam dan enam pengarah baru-baru ini, bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan ketirisan dianggarkan berjumlah RM3.5 bilion di Pelabuhan Klang sejak 10 tahun lepas.
Menurut sumber, antara yang ditahan juga seorang runner dan kekasihnya manakala hasil siasatan setakat ini telah berjaya merampas wang tunai RM4.4 juta dipercayai diperoleh secara rasuah oleh pegawai kastam terlibat.
“Ini tidak termasuk empat buah motosikal Yamaha XMAX bernilai RM28,000, sebuah kenderaan Alphard bernilai lebih RM200,000, sebuah kereta BMW terpakai, barang-barang kemas, jam tangan mewah dan sebidang lot tanah yang kesemuanya dibeli secara tunai,” katanya.
Sumber berkata kesemua sitaan itu adalah sebahagian daripada hasil rasuah yang dapat dikesan SPRM setakat ini.
Pada masa sama, beliau berkata sebanyak 12 akaun syarikat dan individu telah dibekukan dengan anggaran nilai berjumlah RM2 juta.
SPRM juga dalam proses mengesan akaun-akaun lain yang dipercayai digunakan oleh suspek sindiket berkenaan, katanya.
Menurut sumber, SPRM dengan kerjasama Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) juga telah memeriksa kesemua 19 kontena yang disita. – Bernama