11 Penjara tahanan ingkar pkp bakal beroperasi

PUTRAJAYA, 19 APRIL – Sebanyak 11 penjara sementara bagi tahanan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan mula beroperasi 23 April ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakannya setelah mendapat nasihat Pejabat Peguam Negara.

“Kementerian Kesihatan pula akan membantu menyediakan petugas kesihatan yang akan ditempatkan di penjara sementara itu,” katanya pada sidang media harian perkembangan PKP di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata jumlah individu yang ditahan kerana mengingkari PKP di seluruh negara semalam menurun kepada 1,111 individu berbanding 1,565 pada hari sebelumnya.

Jelasnya, ini merangkumi 997 individu yang direman dan 114 yang dijamin polis, menjadikan keseluruhan jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP hingga semalam sebanyak 14,750.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media di bangunan Perdana Putra kelmarin. – Bernama

“Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga telah mengadakan 820 sekatan jalan raya di seluruh negara, dan melakukan pemeriksaan ke atas 451,487 kenderaan,” katanya.

Beliau berkata selain itu, sebanyak 51,706 pemeriksaan mengejut turut diadakan di seluruh negara dengan 5,861 premis telah diperiksa.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melaksanakan 2,627 operasi sanitasi awam di 105 zon termasuk di 29 Zon Merah sejak 30 Mac lepas.

“Semalam, sebanyak 186 operasi sanitasi meliputi 48 zon di 14 negeri, termasuk 38 kawasan di Johor dan 17 kawasan di Melaka yang turut dilakukan sanitasi awam,” katanya.

Beliau berkata sehingga semalam juga, operasi sanitasi telah merangkumi 1,405 bangunan kerajaan, 1,055 tempat awam, 1,078 pusat perniagaan, 192 pasar raya dan 38 Projek Perumahan Rakyat. – Bernama