BANGKOK, 14 OKT – Seramai 11 remaja warga Thailand berjaya diselamatkan oleh tentera di wilayah Sa Kaeo kelmarin sebelum mereka diseludup ke Kemboja untuk dipaksa bekerja dengan sindiket penipuan pusat panggilan.
Operasi penyelamatan itu dijalankan sekitar 6:30 petang oleh Pasukan Tugas Aranyaprathet selepas Cawangan Timur Immanuel Foundation Thailand memaklumkan kepada pihak berkuasa beberapa ibu bapa telah melaporkan anak lelaki mereka diperdaya dan ditahan oleh sebuah kumpulan sindiket.
Komander pasukan berkenaan, Kolonel Chainarong Kasi, berkata maklumat diterima selepas seorang remaja berjaya menghubungi keluarganya untuk memaklumkan dia ditahan di sebuah rumah di Kampung Moo 3, Tambon Fak Huay, daerah Aranyaprathet sejak pagi kelmarin.
Menurut beliau, remaja berkenaan dijanjikan pekerjaan dalam talian dengan gaji bulanan sekurang-kurangnya 20,000 baht serta faedah kebajikan penuh.
Manakala, 10 lagi mangsa lain turut diperdaya dengan janji yang sama.
Mereka diarahkan untuk pergi ke wilayah ke Sa Kaeo dan ditempatkan sementara berhampiran terminal bas Aranyaprathet sebelum dibawa ke sebuah rumah berhampiran sempadan.
Di situ, mereka dikurung dan tidak dibenarkan keluar.
Kesemua remaja yang telah diselamatkan itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Aranyaprathet untuk disoal siasat.
Polis mengesahkan kesemua mereka berusia bawah 20 tahun dan berasal dari pelbagai wilayah. – ANN/The Nation


