Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Seramai 11 orang usahawan telah berjaya menamatkan Program YDC Lights On V/2023 dan menerima sijil masing-masing pada majlis yang berlangsung di Kompleks Sukan Jerudong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan menyempurnakan penyampaian sijil ialah Setiausaha Tetap (Kebeliaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Haji Zakaria bin Haji Serudin.
Program YDC Lights On merupakan program keusahawanan di bawah kendalian Unit Penyelidikan, Kerjaya dan Keusahawanan, Pusat Pembangunan Belia (PPB) yang telah dilaksanakan sejak 2019.
la merupakan platform yang disediakan oleh PPB untuk menggalakkan penglibatan belia serta komuniti dalam bidang keusahawanan sekali gus mengembangkan lagi rangkaian usahawan tempatan di negara ini.
Tahun ini merupakan pengendalian bagi kohort ke-5 dan dikendalikan dengan kerjasama LiveWIRE Brunei selaku rakan strategik PPB, serta telah berjalan dari 13 Mac lalu.
Sebelum majlis penyampaian sijil, sesi pitching telah diadakan di mana lima orang peserta membentangkan rancangan pelan perniagaan mereka dalam bidang seperti agrimakanan, fotografi serta videografi dan kesihatan.
Pembentangan dibuat di hadapan panel juri jemputan dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta industri yang mempunyai kepakaran dalam bidang perolehan, pemasaran, dan pembangunan perniagaan.