Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Sebanyak 11 unit alat sukat dan timbang didapati digunakan bagi tujuan perniagaan di mana lima unit daripada jumlah berkenaan telah gagal mematuhi akta dan peraturan sukatan dan timbangan iaitu empat unit menggunakan alat timbangan yang belum berdaftar serta satu unit mansuh tempoh penggunaan yang dibenarkan.
Pemilik-pemilik alat berkenaan telah dikeluarkan Notis Peringatan serta dikehendaki hadir ke Pejabat Unit Sukatan dan Timbangan (SDT) dalam tempoh tiga hari waktu bekerja daripada tarikh notis dikeluarkan untuk memperbetulan isu itu.
Hasil dapatan pemeriksaan berkenaan oleh Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) melalui SDT di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi adalah semasa menjalankan operasi penguatkuasaan ke atas gerai-gerai jualan perayaan (bermusim) sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78 tahun.
Operasi penguatkuasaan berkenaan dilaksanakan di kawasan letak kereta berdepanan dengan Muzium Alat Kebesaran Diraja dan Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien pada 17 Julai lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh SDT, di sini, lawatan pemeriksaan mengejut itu merupakan tindakan rutin dalam memastikan sebarang penggunaan alat sukat dan timbang bagi tujuan perdagangan adalah sah, tepat dan berdaftar selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151.
Seperti yang dinyatakan dalam Peraturan-peraturan (Penelitian) Alat-alat Sukatan dan Timbangan 1994, di bawah seksyen 3 (2), setiap orang yang menggunakan atau ada pada miliknya untuk kegunaan perdagangan mana-mana timbangan, sukatan alat-alat untuk menimbang yang tidak dicap sebagaimana yang dikehendaki oleh peraturan ini adalah bersalah.
Hukuman denda sebanyak $1,000 atau penjara selama tiga bulan atau kedua-duanya sekali dan timbangan, sukatan atau alat bagi menimbang yang berkenaan boleh dirampas dan sebarang kontrak, tawar-menawar, jualan atau urusan dagang yang dibuat dengan timbangan, sukatan atau alat bagimenimbang sedemikian adalah tidak sah.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Unit SDT melalui e-mel, sdt@mofe.gov.bn atau melalui talian, 2334092.