Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    110 anak yatim terima sumbangan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MAC – NBT (Brunei) Sdn Bhd telah menjemput 110 orang anak yatim bagi majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan derma Gift of Smile yang diadakan di Bilik Pameran Toyota, di Gadong, hari ini, bagi menyemarakkan lagi amalan menderma pada bulan Ramadan.

    Pengarah Urusan NBT, Haji Ahmad bin Haji Husin mengetuai beberapa lagi ketua jabatan bagi menyampaikan sumbangan tersebut.

    Haji Ahmad memberitahu bahawa dia sentiasa berbesar hati untuk menganjurkan inisiatif tahunan Gift with Smile mereka, terutamanya semasa bulan suci Ramadan.

    “Kami merasa terharu kerana dapat memberikan kegembiraan kepada mereka yang kurang bernasib baik. Saya berdoa agar anak-anak yatim berkenaan sentiasa dalam lindungan Allah SWT,” tambahnya.

    Beliau juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh kakitangan NBT yang terlibat dalam sama-sama menjayakan acara berkenaan yang bukan sahaja memberikan impak positif kepada semua, malahan membawa kegembiraan kepada anak-anak yatim yang menerima sumbangan.

    Aktiviti amal ini merupakan inisiatif tahunan NBT pada bulan Ramadan yang betujuan untuk menyebarkan kegembiraan dan keceriaan melalui sumbangan pek Gift of Smile yang menyediakan biskut, makanan ringan, hidangan manis dan sampul hijau yang pastinya membawa kegembiraan.

    NBT dalam kenyataannya menyatakan, ia merupakan cara mudah untuk membantu dalam menyebarkan kebaikan dan sifat positif. Adalah penting untuk diingat bahawa walaupun dengan tindakan kebaikan yang kecil namun boleh memberikan kesan besar kepada dunia di sekeliling.

    Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR), NBT Brunei berkongsi nilai dan kegembiraan sebenar bulan yang diberkati ini dengan membawa semangat memberi kepada anak-anak yatim yang dikenal pasti yang berdaftar di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Pelbagai juadah berbuka puasa disajikan untuk dinikmati oleh anak-anak yatim dan keluarga mereka pada acara amal itu, sejurus selesai majlis sumbangan derma.

    Haji Ahmad menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak yatim semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Haji Ahmad bergambar ramai bersama kakitangan NBT semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda