PARIS, 4 MEI – Pegawai penguat kuasa undang-undang di seluruh Eropah menahan 60 orang tahun lepas dalam tindakan keras untuk mendapatkan semula lebih 11,000 karya seni dan artifak seludup termasuk buku, arca dan syiling purba, kata Interpol hari ini.
Sebagai sebahagian daripada operasi tahunan yang diberi nama kod Pandora VII, pasukan yang diketuai oleh polis Guardia Civil Sepanyol menyerbu penjenayah seni dari 13 hingga 24 September tahun lalu di beberapa negara Eropah, kata badan kerjasama polis antarabangsa itu.
Barangan yang ditemui termasuk 77 buku lama di Itali yang dicuri dari sebuah biara, beribu-ribu syiling bersejarah di Poland, dan 48 arca agama dan artifak lain di Portugal, dipercayai dicuri dalam siri rompakan gereja pada 1990an dan awal 2000an.
Secara keseluruhan, polis dari 15 negara mengambil bahagian, termasuk Austria, Bulgaria, Croatia, Cyprus, Greece, Ireland, Itali, Poland, Portugal, Romania, Sepanyol dan Sweden.
Interpol yang berpangkalan di Perancis menyelia penyelarasan antara pasukan yang berbeza, bersama-sama dengan agensi kerjasama penguatkuasaan undang-undang EU Europol.
“Kira-kira 130 siasatan masih diteruskan, hasilnya lebih banyak rampasan dan tangkapan dijangkakan ketika penyiasat di seluruh dunia memburu mereka yang memusnahkan warisan budaya,” kata Interpol dalam satu kenyataan. – AFP