Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Sebanyak 111 kes baharu jangkitan COVID-19 telah disahkan di Negara Brunei Darussalam pada hari ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID- 19 kepada 5,697 orang.
Selain itu, terdapat 28 tambahan kes-kes baharu kepada enam kluster aktif yang sedia ada pada hari ini yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.
Sementara itu, terdapat satu kluster baharu telah dikesan iaitu, Kluster 5214 yang mengandungi sembilan kes baharu. Kluster ini adalah hasil daripada operasi mass swabbing yang dijalankan dengan kerjasama agensi-agensi penguatkuasaan pada 22 September lalu di kawasan Jalan Muara.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan yang berlangsung pada petang tadi.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga mengongsikan bahawa sebanyak dua kluster telah ditamatkan setelah tidak ada kes dikesan di dalam kluster tersebut selama 28 hari. Kluster tersebut ialah Kluster ABCi dan Kluster 535.

Dengan ini, jumlah kluster aktif pada masa ini adalah sebanyak 100 kluster.
Pada ketika ini, terdapat 74 kes yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut mengongsikan sebanyak 125 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 3,895 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 1,765 kes.
“Di kalangan kes-kes yang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, lapan kes adalah dalam Kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif. Kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan satu kes memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).
“Sementara itu, 30 kes lain dikategorikan dalam Kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Menyentuh mengenai ujian sampel bagi virus SARS-CoV-2, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa sebanyak 4,141 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 dalam tempoh 24 jam yang lalu sekali gus membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 321,382 ujian.
Semasa sidang media itu juga, Yang Berhormat Menteri Kesihatan mewakili keseluruhan warga Kementerian Kesihatan mengucapkan Selamat Hari Guru ke-31 kepada semua guru dan pendidik di Negara Brunei Darussalam.
“Semoga segala jasa, usaha dan pengorbanan mulia diberkati Allah SWT jua. Aamiin Aamiin Ya Rabbal Alamin,” doa Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini, bolehlah melayari laman web Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn atau melalui aplikasi BruHealth.
Sebarang pertanyaan mengenai COVID-19 boleh disalurkan ke Talian Nasihat Kesihatan 148, Talian Darussalam 123, Talian Helpdesk Brunei Red Crescent (BRC) atau e-mel kepada askhal@moh.gov.bn.