Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 13 Jun – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, seramai 111 orang pegawai Jabatan Penjara diperkenankan bagi kenaikan pangkat dan penetapan jawatan mulai 11 Januari 2018.
Sehubungan itu Majlis Penyematan Lencana Pangkat dan Doa Selamat telah diadakan di Dewan Silaturahim, Pusat Latihan, Jabatan Penjara, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan acara tersebut ialah Pengarah Penjara, Haji Ismail bin Haji Murat.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Penjara, Poh Eng Hua; Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan (Timbalan Penasihat Undang-Undang), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Haji Ahmad Nizam bin Dato Paduka Haji Ismail, ketua-ketua pengurusan, pegawai-pegawai kanan dan para jemputan khas serta ahli keluarga pegawai-pegawai yang dinaikkan pangkat.
Daripada jumlah berkenaan, lima orang dinaikkan pangkat sebagai penguasa penjara, empat orang dinaikkan sebagai penolong penguasa penjara, tujuh orang dinaikkan pangkat sebagai ketua pegawai penjara, 12 orang dinaikkan pangkat sebagai pegawai penjara, 17 orang dinaikkan pangkat sebagai ketua wadar penjara, 27 orang dinaikkan pangkat sebagai sarjan wadar penjara dan 39 orang dinaikkan pangkat sebagai koperal wadar penjara.

Salah seorang pegawai yang dinaikkan pangkat yang sempat ditemui, Ketua Pegawai Penjara, Pengiran Mohammad Safuandi Shah bin Pengiran Haji Mohd Tahir meluahkan rasa syukur atas rezeki yang diberikan. Sepanjang 16 tahun bekerja, beliau berkata, pelbagai cabaran yang dilalui oleh Jabatan Penjara yang mana pada zaman teknologi ini, jabatan banyak menggunakan sistem IT di samping itu, mereka juga banyak pengalaman bersemuka bersama banduan-banduan.
Sementara, Sarjan 493 Dayang Siti Habibah binti Haji Mahbub yang merupakan pegawai teknologi maklumat, perhubungan awam dan hal ehwal antarabangsa Jabatan Penjara turut meluahkan perasaan bersyukur atas kurniaan rezeki dalam bulan Ramadan yang mubarak. Beliau yang telah bertugas selama 18 tahun di Jabatan Penjara menyatakan, selama berkhidmat di Jabatan Penjara, antara kenangan manis pada tahun ini adalah apabila beliau juga dianugerahkan Anugerah Pekerja Cemerlang sempena Penubuhan Penjara ke-64 Tahun.
Dalam kesempatan itu, beliau melahirkan harapan agar warga Jabatan Penjara akan dapat bekerja bersungguh-sungguh dan menjaga disiplin diri dan kerja dengan baik dan ikhlas. Manakala, bagi Ketua Wadar 431 Dayang Shuarani binti Haji Ismail yang merupakan Jurulatih Pusat Latihan Penjara, majlis pagi tadi itu merupakan kenangan manisnya dinaikkan pangkat sebagai sarjan.
Beliau merasa bersyukur kerana diberikan kepercayaan dalam menunaikan tanggungjawab dan berharap anugerah tersebut akan sentiasa memberikannya motivasi dan akan sentiasa meningkatkan mutu kerjaya serta sentiasa berusaha pada masa akan datang.
Menurutnya, selaku pegawai yang bertugas di Jabatan Penjara, mereka sentiasa memberikan nasihat dan bimbingan kepada para banduan agar mereka kembali ke pangkal jalan dan tidak mengulangi kesilapan yang lalu.
Beliau juga menasihati para pegawai Jabatan Penjara agar terus memotivasikan diri, berusaha dengan gigih, sentiasa bekerja sebagai satu pasukan dan sama-sama mengharapkan rahmat dari Allah SWT.