Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Sejumlah $112.34 juta telah disokong untuk Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) bagi peruntukan perbelanjaan Tahun Kewangannya bagi 2024/2025.
Jumlah berkenaan termasuk $67.39 juta di bawah peruntukan perbelanjaan biasa, biaya emolumen $41.77 juta dan perbelanjaan berulang-ulang $25.62 juta.
Manakala bagi projek RKN 12, harga rancangan sebanyak $275.09 juta telah diperuntukkan, yang mana sejumlah $44.95 juta telah disokong untuk disediakan di bawah peruntukan perbelanjaan kemajuan bagi tahun kewangan 2024/2025.
Peruntukan itu telah dikongsikan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dalam ucapan mukadimah pada hari ke-6 Permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.
Dalam mukadimah Yang Berhormat Dato turut membentangkan mengenai jaminan bekalan makanan (food security) yang merupakan salah satu agenda yang penting untuk perbincangan utama dan perlu ditangani segera, bukan sahaja di peringkat serantau tetapi juga di peringkat global, termasuk di negara kita sendiri.


Menurut Yang Berhormat Dato, walaupun sudah berada di fasa endemik daripada wabak COVID-19, usaha-usaha dalam meningkatkan sektor perekonomian dan keluaran makanan dalam negara akan terus giat diusahakan, khususnya daripada hasil keluaran pertanian, perikanan dan lain-lain produk pemprosesan makanan berasaskan pertanian dan perikanan.
Secara keseluruhannya, prestasi keluaran daripada sektor makanan, yang merangkumi keluaran daripada industri pertanian dan agrimakanan dan juga industri perikanan, telah mencatatkan penurunan sekitar 9 peratus.
Bagaimanapun dari segi pencapaian sara diri bagi komoditi-komoditi utama yang diberikan tumpuan, negara telah berjaya mencapai 100 peratus sara diri dalam bekalan ayam pedaging dan telur ayam serta 71 peratus sara diri bagi bekalan ikan dan udang. Manakala, bagi sayur tropika dan buah tropika, masing-masing mencapai sekitar 72 peratus dan 42 peratus sara diri dan beras sekitar 8 peratus sara diri.
Pihak kementerian berazam akan terus berusaha untuk meningkatkan keluaran komoditi-komoditi utama di bawah sektor pertanian dan perikanan ini, bukan sahaja untuk memastikan bekalan makanan di negara ini adalah terjamin tetapi juga untuk menyumbang kepada peningkatan jumlah dan nilai eksport.
Sehingga kini, kita akui bahawa kita terus menghadapi pelbagai cabaran semasa berkaitan isu-isu global seperti konflik geopolitik, gangguan rantaian perbekalan, perubahan iklim dan situasi ekonomi tidak menentu, antaranya telah membawa kepada isu kenaikan kos pengeluaran dan pengimportan makanan berikutan peningkatan kos logistik dan pengangkutan dan juga termasuk peningkatan kos bagi bahan input ladang, seperti bekalan biji benih, benih ikan, baja, makanan ternakan dan lain-lain, yang kebanyakannya masih bergantung tinggi kepada import.
Walau bagaimanapun, InsyaAllah, melalui perancangan dan perlaksanaan beberapa program dan inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan secara berterusan oleh pihak Kementerian dan jabatan-jabatan yang berkenaan di bawahnya dan dengan komitmen serta kegigihan para pengusaha, peladang, petani, penternak dan nelayan yang berkenaan; juga melalui kerjasama dan kolaborasi bersama agensi-agensi serta lain-lain pihak yang berkenaan melalui pendekatan “whole of nation” dan “whole of government”, isu dan cabaran yang dihadapi ini akan dapat kita tangani bersama.
Kita akui dengan cabaran-cabaran yang dihadapi ini, sedikit sebanyak menjejaskan prestasi keluaran dari sektor makanan berbanding pada tahun sebelumnya.
Walau bagaimanapun, kita terus masih dapat menyumbang di dalam menjana bekalan makanan seperti ayam, telur ayam, ikan, beras dan sayur bagi penduduk Negara.
Yang Berhormat Dato turut menjelaskan beberapa perkara mengenai Keluaran bagi komoditi kerbau dan lembu menurun kerana permintaan bekalan daging kerbau/lembu segar (penyembelihan ternakan hidup import) telah kembali pulih seperti biasa iaitu keadaan sebelum penularan wabak COVID-19 pada tahun 2020 dan 2021.
Peningkatan keluaran daging kerbau dan lembu pada tahun 2020 dan 2021 adalah disebabkan peningkatan penyembelihan ternakan import kerbau dan lembu hidup untuk membekal sumber daging merah bagi penduduk Negara Brunei Darussalam memandangkan pembekalan daging kerbau dan lembu beku import tidak dapat diperolehi kerana sekatan pergerakan dan masalah logistik ekoran wabak COVID-19.
Walau bagaimanapun, pengimportan daging kerbau/lembu beku tetap diteruskan dan masih lagi diperlukan. Ini adalah bagi memastikan bekalan daging adalah stabil dan terus diperolehi oleh semua golongan rakyat di negara ini.
Keluaran industri akuakultur khususnya ternakan udang telah menurun sebahagian besarnya disebabkan oleh jangkitan penyakit udang kepada ternakan syarikat udang terbesar di negara ini. Ini juga mengakibatkan keluaran produk perikanan berproses terjejas memandangkan udang adalah bahan mentah yang diperlukan.
Selain dari itu, dari segi pencapaian sara diri bagi komoditi-komoditi utama yang diberikan tumpuan, kita telah berjaya mencapai 100 peratus sara diri dalam bekalan ayam pedaging dan telur ayam, dan 71 peratus sara diri bagi bekalan ikan dan udang. Manakala, bagi sayur tropika dan buah tropika, masing-masing mencapai sekitar 72 peratus dan 42 peratus sara diri, dan beras sekitar 8 peratus sara diri.
Pihak Kementerian berazam akan terus berusaha untuk meningkatkan keluaran komoditi-komoditi utama di bawah sektor pertanian dan perikanan ini, bukan sahaja untuk memastikan bekalan makanan di negara ini adalah terjamin tetapi juga untuk menyumbang kepada peningkatan jumlah dan nilai eksport.
Dalam usaha ke arah meningkatkan keluaran padi dan beras pula, pihak Kementerian melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, akan meneruskan usaha-usaha penyelidikan padi bagi mengenal pasti varieti padi unggul, berhasil tinggi dan menepati citarasa pengguna, dengan terus menjalin serta mengukuhkan kerjasama dengan agensi-agensi serta institusi-institusi penyelidikan, termasuklah dengan Hunan Hybrid Rice Research Centre dan Yuan Longping High Tech Agriculture Co. Ltd dari Republik Rakyat China dan International Rice Research Institute (IRRI) yang berpangkalan di Republik Filipina, dengan sasaran untuk meningkatkan keluaran padi bagi Kawasan berpengairan dari 5-6MT/ha semusim melalui penanaman varieti padi Sembada188 pada masa ini kepada 7-8MT/ha semusim, di masa terdekat ini.
Ke arah ini, pihak Jabatan Pertanian dan Agrimakanan sedang giat melaksanakan projek rintis penanaman beberapa varieti padi hibrid yang berpotensi menghasilkan sebanyak 7.5MT/ha semusim. Di samping itu, Jabatan juga menumpukan usaha kajian bagi meningkatkan produktiviti ladang di kawasan tidak berpengairan (non-irrigated) iaitu dari 1MT/ha kepada 3MT/ha semusim. Pada masa ini, terdapat empat (4) jenis varieti padi bagi kawasan non-irrigated telah pun dikenal pasti dan dibuat trial (percubaan) di Daerah Temburong.
Selain dari itu juga, melalui usaha dan kerjasama yang berterusan antara pihak jabatan yang berkenaan di bawah kementerian ini dan juga dengan komitmen serta kesungguhan para pengusaha, dan lain-lain pihak yang berkenaan, kini kita telah berjaya: Mengeksport telur ayam ke Singapura buat pertama kalinya, yang mana pada 1 Februari 2023, sekitar 300,000 biji telur ayam telah berjaya dieksport ke Singapura, dan setakat bulan Februari 2024 yang lalu, sekitar 6 juta biji telur ayam yang bernilai hampir $1.1 juta telah dieksport, dan ini akan terus dipertingkatkan di masa akan datang.
Bagi industri tanaman, kita telah berjaya mengeksport buah pisang Cavendish ke Sarawak bermula Mei 2023 dan setakat bulan Februari 2024, kita telah mengeksport lebih dari 2.5 tan metrik buah pisang cavendish.
Dari segi eksport perikanan, selain daripada eksport udang yang dihasilkan oleh Syarikat Golden Corporation Sdn Bhd; Tuna dari Syarikat Yamako Pacific (B) Sdn Bhd dan Syarikat Gemilang Seri Shunfan Venture Sdn Bhd, kita juga buat pertama kalinya, telah berjaya mengeksport filet ikan selongsong (seabass), iaitu produk berproses dan tambah nilai yang dihasilkan oleh Syarikat FDI Barramundi Group Brunei Sdn Bhd yang telah dieksport ke Singapura mulai November 2022.
Setakat bulan Mac 2024, syarikat ini telah mengeksport ikan barramundi beku sejumlah 3.6 tan metrik bernilai $0.06 juta.
Selain dari itu, kita menggalakkan tambah nilai kepada keluaran makanan kita yang mana pengusaha telah menghasilkan produk pemprosesan berasaskan daging dan produk makanan berproses lain yang juga telah berjaya menembusi pasaran Sabah, Sarawak dan Singapura dengan nilai eksport sekitar $0.36 juta.
Kementerian ini melalui jabatan-jabatan yang berkenaan akan terus bekerjasama dengan pengusaha-pengusaha dan lain-lain pihak yang berkenaan, dalam membuat penyelarasan, perancangan dan persiapan, bagi mengeksport produk-produk hasil pertanian dan perikanan yang lainnya, seperti daging ayam, produk berproses berasaskan daging dan lain-lain; terutama sekali dalam menekankan kepentingan mematuhi keperluan dan peraturan yang ditetapkan oleh negara pengimport, seperti memastikan aspek keselamatan makanan dipenuhi dan rantaian nilai (value chain) bagi industri-industri di bawah sektor makanan ini akan terus diperkukuhkan.
Sebagai usaha berterusan untuk membantu para pengusaha dan peladang dalam memasarkan hasil ladang masing-masing secara langsung kepada orang ramai, pihak Kementerian telah merancakkan semula program “Pasar Kitani” di Pusat Agribisnes Rimba Gadong, dan diharap ini akan dapat memberikan semangat kepada para pengusaha mikro, kecil dan sederhana untuk berusaha lebih gigih bagi meningkatkan keluaran hasil ladang di masa akan datang bagi menjana peningkatan sumber pendapatan mereka.
Dalam usaha ke arah mengukuhkan nilai eksport keluar negara terus meningkat dari Negara Brunei Darussalam khususnya pasaran China, KSSUP telah menandatangani dua perjanjian dengan General Administration of Customs (GACC), Republik Rakyat China iaitu (i) Protocol on Inspection, Quarantine and Veterinary Sanitary Requirements for Wild Aquatic Products; dan (ii) Protocol on Inspection, Quarantine and Veterinary Sanitary Requirements for Cultured Aquatic Products. Ini dijangka akan membuka peluang yang lebih luas untuk peningkatan eksport dari 176 jenis produk perikanan ke China.

