Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPTEMBER – Negara Brunei Darussalam hari ini mencatatkan sebanyak 113 lagi kes baharu jangkitan COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini kepada 6,813 orang.
Sementara itu, terdapat 47 tambahan kes-kes baharu kepada 11 kluster aktif yang sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya manakala empat kluster baru telah dikesan.
Kluster-kluster baharu ialah Kluster 6347 yang mengandungi enam kes; Kluster 6425 yang mengandungi empat kes; Kluster 6427 yang mengandungi lima kes; dan Kluster 6678 yang mengandungi lima kes.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan statistik itu pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Dalam pada itu, satu kluster telah ditamatkan setelah tidak ada kes dikesan di dalam kluster berkenaaan selama 28 hari iaitu Kluster 1848, menjadikan jumlah kluster yang aktif pada masa ini kepada sebanyak 113 kluster.

Sementara itu, terdapat 44 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.
“Terdapat dua kes import yang dicatatkan pada hari ini yang mana kedua-duanya telah tiba ke Negara Brunei Darussalam dari Manila pada 15 September 2021 dengan menaiki Penerbangan Diraja Brunei BI 684,” jelas Yang Berhormat Dato.
Yang Berhormat Dato juga mengongsikan bahawa sebanyak 139 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di negara ini kepada 4,582 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 2,185 kes.
“Di kalangan kes-kes yang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, tujuh kes adalah dalam kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif.
“Kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificialventilation) dengan satu kes memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO),” katanya.
“Sementara itu, 34 kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi,” tambah Yang Berhormat Dato lagi.
Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 4,137 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 344,445 ujian.
Di hujung kenyataan, Yang Berhormat Dato mengambil kesempatan mengajak orang ramai berdoa semoga segala usaha kita semua dalam mengawal penularan COVID-19 di negara ini dipermudahkan dan mendapat keberkatan dari Allah SWT.
“Semoga penularan COVID-19 akan dapat dibendung dan mudah-mudahan Allah SWT sentiasa merahmati dan melindungi kita semua daripada segala kemudaratan yang tidak diingini.”